KUANTAN: Gara-gara teruja mendapatkan hadiah daripada kenalan baharu, seorang guru wanita terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM89,200 selepas menjadi mangsa Parcel Scam, sejak 9 April lalu.
Kejadian bermula selepas mangsa berusia 35 tahun yang bertugas di Lipis, dekat sini itu, menerima pesanan ringkas melalui laman sosial Instagram daripada suspek untuk berkenalan.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Deputi Superintenden Yap Huat Tian berkata, berdasarkan laporan mangsa, suspek menggunakan nama ‘Hasril Afiq’ dan bertanyakan tarikh lahir kerana kononnya ingin menghantar hadiah.
Menurutnya, mangsa memberikan suspek nombor telefon untuk memudahkan mereka berhubung.
“Pada 10 April lalu mangsa menerima panggilan daripada seorang lagi suspek dipercayai menyamar sebagai pekerja syarikat kurier. Suspek kedua ini pula memperkenal dirinya sebagai ‘Ahmed’ dan memaklumkan bungkusan hadiah yang dihantar oleh sahabat (suspek) kepada mangsa ditahan pihak kastam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Huat Tian berkata, suspek mendakwa bahawa bungkusan itu mengandungi pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai USD60,000 atau bersamaan RM255,270.
“Untuk mendapatkan bungkusan hadiah atau parcel yang dijanjikan, suspek mengarahkan mangsa memindahkan sejumlah wang ke akaun diberikannya. Tanpa berfikir panjang, mangsa melakukan 12 kali pindahan wang ke beberapa nombor akaun dengan jumlah keseluruhan RM89,200,” katanya.
Menurutnya, setelah merasakan dirinya ditipu suspek, mangsa membuat laporan polis tentang kejadian itu di Balai Polis Sungai Koyan, Lipis semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN