Guru rugi RM32,700 ditipu 'pegawai LHDN' - Utusan Malaysia

Guru rugi RM32,700 ditipu ‘pegawai LHDN’

AIDI SHAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Wang simpanan seorang guru berjumlah RM32,700 ‘lesap’ selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa seorang wanita berusia 37 tahun yang bertugas sebagai guru di daerah ini telah merima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri dengan nama Puan Ivan daripada LHDN.

“Mangsa dimaklumkan terdapat tunggakan cukai berjumlah RM38,800.82 atas syarikat yang didaftarkan atas namanya di sebuah alamat di Cyberjaya.

“Mangsa menafikan perkara ini, panggilan disambungkan kepada pegawai polis berpangkat Sarjan daripada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan kali ini mangsa dimaklumkan akaun mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram, penyeludupan dadah dan waran tangkap telah pun dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, panggilan seterusnya disambungkan kepada Asisten Superintenden (ASP) Datuk Zul, pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan telah diberikan pautan untuk memuat naik aplikasi MyBNM untuk tujuan membersihkan nama.

“Mangsa mengisi maklumat perbankan akaun Maybank miliknya seperti nombor kad mesin pengeluaran wang (ATM), nombor akaun, nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian bank tersebut.

“Mangsa membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati mengalami kerugian sebanyak RM32,700 daripada akaun tersebut yang dipindahkan dalam lima transaksi kepada satu akaun individu yang tidak dikenali,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya hadir ke balai polis pada hari yang sama untuk membuat laporan polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN