GUA MUSANG: Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra di sini, tidak menang tangan menghasilkan 50,000 biji atau 1,000 balang biskut raya pelbagai jenis yang ditempah pelanggan tahun ini.
Walaupun menghidap kanser kelenjar air liur, Nor Liyana Abdullah, 38, tetap meneruskan aktiviti sampingan itu yang sudah menjadi kelaziman baginya setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, lima jenis biskut raya paling mendapat permintaan pelanggan ialah coklat chip, nilam sari, tart nanas, sugi dan biskut jering.
“Walaupun sibuk, saya tidak ada masalah membahagikan masa antara tugas hakiki mengajar dan melakukan pekerjaan sampingan menghasilkan biskut raya.
“Sebaik sahaja pulang dari sekolah, saya berada di dapur sehingga pukul 12 tengah malam untuk menyiapkan tempahan biskut raya ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Wangi, di sini semalam.
Setiap biskut dihasilkan Nor Liyana dijual pada harga antara RM28 hingga RM30 sebalang.
Berhubung perkembangan kesihatannya, Nor Liyana berkata, dia disahkan menghidap kanser kelenjar air liur sejak tiga tahun lalu ketika hamil anaknya yang kelima.
“Disebabkan penyakit ini, saya terpaksa menggugurkan kandungan itu kerana perlu menjalani rawatan.
“Walaupun sibuk mengajar dan menyiapkan tempahan biskut raya, saya tetap menjaga kesihatan diri dan bersyukur mempunyai ahli keluarga serta kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan,” katanya. – UTUSAN