PETALING JAYA: Dua pelajar cedera selepas dirempuh kereta dipandu seorang lelaki yang tidak menyedari lampu isyarat berwarna merah dalam kejadian di Jalan Sentul berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Convent dekat sini minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi hari Khamis lalu, ketika dua pelajar perempuan terbabit sedang melintas jalan.
Katanya, kereta jenis Toyota Vios dipandu lelaki berusia 30 tahun itu kemudiannya melanggar kedua-dua pelajar perempuan berusia 14 tahun ketika mereka sedang menyeberang jalan.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua pelajar berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan menerima rawatan di hospital berhampiran.
“Pemandu berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila dia dipercayai tidak menyedari lampu isyarat berwarna merah ketika tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan dua pelajar dilanggar sebuah kereta berdekatan sebuah sekolah di ibu negara. – UTUSAN








