Halang lalu lintas kesalahan tinggi Operasi Patuh Undang-Undang

Halang lalu lintas kesalahan tinggi Operasi Patuh Undang-Undang

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 6,684 notis advokasi dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sepanjang dua hari pelaksanaan Operasi Patuh Undang-Undang (Op PUU) di ibu negara sejak Ahad lalu.

Halangan lalu lintas mencatatkan kesalahan tertinggi sepanjang dua hari pelaksanaan di ibu kota sejak Ahad.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sepanjang dua hari pelaksanaan, sebanyak 6,284 notis dikeluarkan melalui operasi harian, manakala 400 notis lagi menerusi Op Didik.

Katanya, daripada jumlah itu, 3,134 notis melibatkan kesalahan halangan lalu lintas menjadikannya kesalahan paling tinggi direkodkan dalam tempoh dua hari operasi.

“Kesalahan lain turut direkodkan antaranya mengabaikan isyarat lalu lintas (494 notis), berhenti di petak kuning (380 notis) dan nombor pendaftaran kenderaan kotor, kabur atau fancy (411 notis).

“Selain itu, kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar mencatatkan 328 notis, tidak memakai topi keledar (305 notis) serta lain-lain kesalahan seperti kenderaan tiada cermin sisi, cukai jalan tamat tempoh, tayar botak dan tiada pelekat L atau P membabitkan 1,632 notis,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, motosikal kekal menjadi penyumbang utama dengan 3,132 unit menerima notis advokasi, diikuti kereta (2,813), teksi (182), van (120), lori (103) serta pejalan kaki seramai 334 orang.

“Polis Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan pelaksanaan Op PUU sebagai langkah mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.

“ Op PUU akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang lalu lintas di ibu negara berada pada tahap terbaik,” katanya. 

Media sebelum ini melaporkan, notis advokasi akan dikeluarkan sebagai peringatan awal kepada pengguna jalan raya mengenai kesalahan dilakukan dalam tempoh kempen advokasi Op PUU.

Fadil dilaporkan berkata,  Op PUU dilaksanakan dengan menyerahkan notis kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan kecil tanpa dikenakan saman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN