PETALING JAYA: Syarikat pengedar produk kesihatan, Go Nature menyantuni 100 orang anak-anak asnaf Maahad Tahfiz Al Habbah dengan menjalankan aktiviti membeli-belah di Lotus Ampang kelmarin, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Go Nature, Syed Gaddafi Syed Saifuddin, 36, berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan memberi peluang kepada golongan asnaf merasai nikmat memilih barang keperluan masing-masing, seperti dirasai oleh golongan berkemampuan lain.
Beliau berkata, setiap seorang anak asnaf diberikan wang berjumlah RM180 dan mereka diberi kebebasan membelanjakan wang tersebut untuk membeli pakaian, makanan dan barang asas lain.

“Kami bukan sahaja memberi anak-anak asnaf ini pilihan, kenikmatan dan keseronokan berbelanja pada hari raya tidak lama lagi, malah menjadi tarbiyah kepada semua untuk sentiasa bersyukur dengan apa sahaja rezeki yang ada.
“Sepanjang hidup mereka, anak-anak asnaf tidak merasai nikmati memilih, jadi, dengan program ini setidaknya menjadi ruang untuk mereka merasai kenikmatan berbelanja, pada masa sama, kami mahu mendidik mereka dalam pengurusan wang.
“Selepas berbelanja barang pilihan mereka masing-masing, kami menghulurkan wang RM50 sebagai duit raya dan jelas kegembiraan serta rasa sebak terpampang di wajah mereka, kerana mereka tidak pernah memperoleh wang sebesar itu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Syed Gaddafi berkata, secara keseluruhan, kos untuk penganjuran program itu termasuk pengangkutan pergi dan balik antara RM20,000 hingga RM25,000, dan pembelian baju hari raya serta barangan lain menggunakan kad Big Pay sebagai mod bayaran.
“Sememangnya mereka rasa seronok dengan program dianjurkan untuk mereka. Kehidupan mereka tidak sama seperti yang lain, selama ini kita boleh memilih apa sahaja yang kita mahu tetapi tidak untuk mereka.
“Nampak jelas rasa syukur mereka apabila ada yang mendapat baju baharu meskipun di bawah harga RM20,” katanya.
Go Nature adalah syarikat pengeluar produk kesihatan minyak Sacha Inchi, merupakan sejenis tumbuhan berasal dari Peru selain dinobatkan sebagai ‘Superfood’ pada 2016 dan diiktiraf sebagai minyak terbaik di dunia dari sumber tumbuhan. – UTUSAN