PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan fortifikasi tepung gandum dengan zat besi dan asid folik bagi pek 25 kilogram (kg) ke bawah secara mandatori dalam usaha untuk meningkatkan kesihatan masyarakat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lebih lanjut bersama pemegang taruh berkaitan agar ia tidak akan membebankan rakyat dari segi harga manakala Peraturan-Peraturan Makanan 1985 bagi pelaksanaan fortifikasi ini akan dipinda.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Kabinet pada 20 April lalu bagi memastikan paras zat besi dan asid folik dalam tepung gandum adalah selaras dengan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Katanya, WHO mencadangkan 6.0 miligram (mg) bagi zat besi dan 260 mikrogram (µg) bagi asid folik dalam setiap 100 gram (g) tepung gandum.
“Secara umumnya, zat besi dan asid folik tidak ditambah ke dalam tepung gandum pek 25kg yang mana kedua-duanya hanya ditambah ke dalam tepung gandum pek 1kg secara sukarela, dengan paras yang berbeza-beza, dan lebih rendah berbanding paras yang dicadangkan.
“Cadangan fortifikasi secara mandatori ini akan memastikan paras zat besi dan asid folik dalam tepung gandum 25kg dan ke bawah adalah seragam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairy berkata, ia juga dapat meningkatkan kualiti nutrien produk makanan industri makanan kecil dan sederhana seperti roti, mee basah, roti canai, dan kuih-muih.
Katanya, pelaksanaan dasar ini dapat membuka ruang yang lebih luas bagi rakyat Malaysia mendapatkan makanan berkhasiat.
“Kekurangan zat besi dan asid folik boleh menyebabkan masalah kecacatan kekal dalam kalangan bayi seperti Neural Tube Defect (NTD) dan Anemia.
“Masalah NTD adalah masalah pembentukan dan tumbesaran saraf bayi semasa di dalam kandungan yang boleh menyebabkan bayi dilahirkan dengan tempurung kepala yang tidak lengkap, tumbesaran otak yang terencat dan pembentukan tulang belakang yang tidak sempurna (spina bifida),” katanya.
Beliau berkata, Anemia pula melibatkan kepekatan hemoglobin (Hb) dalam sel darah merah adalah rendah yang boleh mengakibatkan kelahiran pra-matang dan menjejaskan perkembangan mental, fizikal dan kognitif yang boleh menyebabkan masalah kurang berat lahir dan terbantut.
“Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, satu daripada 5 (21.3 peratus) rakyat Malaysia mengalami masalah anemia dan secara khususnya, tiga daripada 10 (29.9 peratus) wanita usia reproduktif (15-49 tahun) mengalami masalah anemia.
“Usul ini merupakan satu daripada intervensi kesihatan awam yang berkesan dan menyeluruh selari dengan saranan WHO dalam usaha untuk meningkatkan pengambilan zat besi dan asid folik dalam kalangan masyarakat,” katanya. –UTUSAN