PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengumumkan bantuan bersasar dan bentuk duit raya sebanyak RM200 bagi meringankan beban peneroka yang terjejas disebabkan hasil tanan getah dan menghargai sumbangan pekerja ladang.
Menurut Felda, bantuan bersasar itu bagi peneroka getah yang menghantar hasil kepada Felda dan memperoleh pendapatan hasil kurang RM2,000 bagi Mac 2022.
Jelasnya, sumbangan duit raya dan barangan asas berjumlah sehingga RM200 pula akan diterima oleh pekerja dalam Felda di seluruh negara.
“Bayaran bagi sumbangan duit raya akan mula dibuat pada 28 April 2022. Keseluruhan sumbangan duit raya ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.6 juta,” katanya dalam kenyataan.
Felda turut mengumumkan penangguhan potongan bayaran kembali peneroka getah bagi pendapatan Mac 2022.
Katanya, peneroka getah yang layak menerima penangguhan itu adalah mereka yang memperoleh pendapatan hasil Mac kurang RM2,000.
“Bantuan bersasar ini merupakan manifestasi keprihatinan Felda terhadap peneroka getah yang menerima pendapatan kurang RM2,000. Semoga bantuan ini akan dapat meringankan sedikit beban warga peneroka yang terjejas dan membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah,” katanya.
Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 (Akta 474) dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui pembangunan tanah dan penempatan semula melibatkan tanaman sawit dan getah.
Selepas 1990, Felda tidak lagi membuat pengambilan peneroka baharu setelah meraih kejayaan dalam mengubah kehidupan 112,638 keluarga peneroka dan menempatkan mereka di 317 buah rancangan di seluruh negara. – UTUSAN










