Enam tahanan etnik Rohingya terbunuh ketika melarikan diri

Enam tahanan etnik Rohingya terbunuh ketika melarikan diri

SEBAHAGIAN daripada etnik Rohingya yang melarikan diri daripada Depoh Tahanan Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang yang berjaya ditahan semula pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Seramai enam orang etnik Rohingya maut dalam kemalangan ketika cuba menyeberangi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Kilometer 165 berhampiran Jawi, dekat sini kira-kira pukul 6.50 pagi tadi.

Mereka yang terbunuh ialah dua lelaki dewasa, dua wanita serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, keenam-enam mangsa merupakan sebahagian daripada 528 tahanan warga asing yang melarikan diri daripada Depoh Tahanan Imigresen Sementara Sungai Bakap yang terletak bersempadan dengan Bandar Baharu, Kedah, kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.

“Kita percaya baki tahanan yang melarikan diri itu tidak lagi berani untuk menyeberangi lebuh raya selepas kemalangan terbabit.

“Sebaliknya, rata-rata mereka mungkin hanya menyusuri lebuh raya tersebut semasa melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menahan semula 229 daripada tahanan yang melarikan diri itu ketika ini.

Katanya, selain pihak berkuasa termasuk polis dan Rela, orang ramai khususnya penduduk kampung berhampiran turut membantu dan berjaya memberkas 88 daripada tahanan itu sebelum menyerahkannya kepada pihak Imigresen.

“Ketika ini juga, usaha mencari serta mengesan baki 205 tahanan berkenaan masih giat dijalankan.

“Bagaimanapun, kita bertuah kerana kerja-kerja mencari dan mengesan saki baki tahanan itu turut dibantu oleh sekumpulan anak muda secara sukarela,” katanya.

Katanya, Depoh Tahanan Imigresen Sementara Sungai Bakap itu menempatkan seramai 663 tahanan warga asing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN