Empat PATI tak sempat pulang diberkas kastam - Utusan Malaysia

Empat PATI tak sempat pulang diberkas kastam

EMPAT PATI ditahan Kastam Johor di Jalan Kampung Sungai Mengkudu, Batu Pahat, pada Ahad dalam cubaan menyeludup keluar untuk pulang ke negara mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Hasrat empat pendatang asing tanpa izin (PATI) menyeludup keluar untuk pulang ke negara asal gagal selepas kesemua mereka bersama seorang pemandu teksi warga tempatan diberkas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

Dalam kejadian pukul 6.45 petang Ahad lalu, pihak Kastam turut menemukan satu bungkusan mampat disyaki dadah dalam teksi berkenaan yang diletakkan di ruang alas kaki tempat duduk hadapan.

Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, ketika pihaknya mengadakan rondaan berhampiran Jalan Kampung Sungai Mengkudu di sini, mereka terserempak dengan sebuah teksi jenis Proton Exora yang mencurigakan.

“Pasukan kami bertindak mengekori kenderaan tersebut namun secara tiba-tiba teksi tersebut berhenti di tepi jalan dan salah seorang daripada penumpang keluar melarikan diri ke ladang sawit berhampiran. Melihat kejadian itu, pasukan dengan pantas mengejar suspek dan berjaya memberkas lelaki itu daripada melepaskan diri. Hasil pemeriksaan rapi ke atas kenderaan pula kemudiannya menemukan lima orang lelaki terdiri daripada seorang pemandu teksi warga tempatan dan empat PATI,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga asing itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua mereka termasuk pemandu teksi berusia antara 34 hingga 55 tahun ditahan. Keputusan ujian air kencing ke atas lima individu itu mendapati kesemua mereka positif dadah. Hasil pemeriksaan pasukan narkotik pula ke atas bungkusan mampat mendapati dadah jenis methamphetamine sebanyak dua gram dan ketulan mampat disyaki ganja sebanyak lapan gram,” katanya.

Menurut Sazali, kesemua PATI berkenaan dipercayai dalam perjalanan untuk ke negara mereka melalui laluan tidak sah dengan menggunakan jalan laut tanpa dokumen atau permit perjalanan yang sah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN