RUU Anti Lompat Parti

RUU: Perlu pinda Perkara 48 selain Perkara 10 elak krisis Perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dijangka berdepan satu lagi masalah jika tidak melakukan pindaan ke atas Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal hilang kelayakan ahli Parlimen.

Sebabnya, agenda Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini hanya menyentuh pindaan Perkara 10 (kebebasan berpersatuan) yang menjadi punca kuasa bagi memberi ruang kepada ahli-ahli Dewan Rakyat menggubal satu akta Anti Lompat Parti dengan lebih teratur dan terperinci serta boleh diterima semua pihak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kegagalan meminda Per­kara 48 termasuk menambah klausa membabitkan obligasi undang-undang lompat parti boleh mencetuskan krisis perlembagaan dan isu perundangan selepas pembentangan RUU Anti Lompat Parti dan diluluskan kelak.

Malah, katanya, ia akan menyebabkan undang-undang Anti Lompat Parti pada masa akan datang boleh dicabar di mahkamah kerana tidak berperlembagaan apabila penggubalannya me-nyalahi undang-undang tertinggi negara itu.

“Misalnya, Perkara 48 (1) menyentuh enam faktor kehilangan kelayakan ahli Parlimen antaranya diisytihar bankrap dan disabitkan bersalah, namun perlu ditambah satu lagi klausa iaitu mengambil kira kesan RUU Anti Lompat Parti yang akan diluluskan Parlimen.

“Ya, diakui Perkara 10 yang selama ini memberi kebebasan wakil rakyat menyertai mana-mana parti memang wajar dipinda. Namun ada satu lagi iaitu Perkara 48 sebelum undang-undang lompat diluluskan.

“Selagi tidak berbuat demikian, boleh menyebabkan perundangan lompat parti tidak berperlembagaan dan boleh dicabar di mahkamah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan wajar dipinda untuk elak potensi krisis perundangan negara pada masa depan.

Beliau juga mempersoalkan rancangan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang dilihat boleh mengundang krisis perlembagaan kerana tanpa undang-undang Anti Lompat yang ditakrifkan dengan ketat akan menjadi terlalu luas dan berbahaya.

Dalam nada sama, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menjelaskan, kerajaan perlu membuat satu lagi pindaan Perlembagaan Persekutuan jika tidak meminda Perkara 48 serentak dengan Perkara 10 apabila kemungkinan timbul krisis perundangan selepas RUU Anti Lompat Parti diluluskan kelak.

Katanya, pindaan Perkara 10 dan Perkara 48 amat penting di dalam merangka RUU Anti Lompat Parti yang bertujuan menjamin kestabilan tanah air.

“Tidak dinafikan kekangan undang-undang anti lompat parti disebabkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkenaan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang memberi ruang kepada rakyat termasuk wakil rakyat menyertai mana-mana parti dan perkara ini, semua pihak komited agar ia dipinda esok.

“Namun kita perlu melihat satu lagi cabaran iaitu Perkara 48 (6) yang perlu sama dipinda. Jangan kita buat dua kerja kera­na sidang khas ini perlu membabitkan peruntukan itu dan Perkara 10 yang membataskan penggubalan undang-undang anti lompat,” katanya.

Bagi Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, penggubalan undang-undang Anti Lompat perlu dibuat secara menyeluruh dengan perlu membabitkan sama Perkara 48 yang berkisar soal hilang kelayakan ahli Parlimen.

Beliau bersetuju dengan pandangan Azalina agar pindaan Perkara 48 amat wajar di samping  membabitkan sama Perkara 10 yang perlu disertai dengan undang-undang Anti Lompat Parti.

“Sekali pun Perkara 10 berjaya dipinda majoriti Dewan Rakyat, ia belum cukup mampu untuk mengekang amalan lompat parti wakil rakyat tanpa disertakan satu undang-undang menyekat perbuatan itu. Jadi apa tujuan perkara ini dipinda, ianya tidak lain untuk mengubal RUU Anti Lompat,” jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata RUU Anti Lompat Parti tidak akan dibentang pada Sidang Khas Dewan Rakyat sebaliknya hanya membabitkan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan undang-undang berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal di Parlimen.

Perkara itu membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 10(3) yang berkaitan dengan Perkara 10(1)(c), iaitu mengenai kebebasan berpersatuan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN