KUALA LUMPUR: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak seorang wanita warga emas dan anak perempuannya di hadapan rumah mangsa di Bandar Tun Razak, penghujung Mac lalu.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Iqbal Ali Bakar, 34, dan Abu Mukhzim Badarul Shah, 29, didakwa pada 26 Mac lalu di hadapan sebuah rumah di Bandar Tun Razak telah melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata terhadap Shofiah Hamzah, 77, dan Nor Taibah Taazim, 34.
Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Azahan mengikut Seksyen 395 dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh bagaimanapun peguam-peguam bela yang mewakili Muhammad Iqbal dan Abu Mukhzim memohon agar jumlah tersebut dikurangkan.
Peguam Syah Azlan Abdullah yang mewakili Muhammad Iqbal memohon agar anak guamnya dikenakan ikat jamin yang rendah kerana tertuduh tidak mempunyai pekerjaan dan perlu menanggung isteri, dua anak serta ibunya.
Sementara itu, peguam Izleen Ismail yang mewakili Abu Mukhzim memohon lelaki terbabit dikenakan ikat jamin yang rendah kerana dia juga menjaga ibunya tua dan mempunyai masalah pendengaran.
Hakim Izralizam Sanusi selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua pihak menetapkan wang jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan setiap tertuduh juga diperintahkan untuk melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Mei ini.
Pada 26 Mac lalu, tular rakaman video dua lelaki merompak seorang wanita warga emas berusia 77 tahun di hadapan rumah anak mangsa ketika mangsa bersama seorang anak perempuannya mahu keluar makan.
Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM25,000 selepas penyamun bersenjatakan parang melarikan dua rantai leher serta dua gelang tangan yang dipakai mangsa.
Selain merentap rantai leher dipakai mangsa, suspek juga memotong rantai tangan dipakai mangsa dengan menggunakan gunting pemotong sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal yang mempunyai nombor pendaftaran palsu.
Pada 29 Mac lalu, pihak polis dalam satu kenyataan menyatakan bahawa salah seorang suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut telah ditahan sehari selepas kejadian manakala seorang lagi ditahan pada 28 Mac 2022. –UTUSAN