Dua beranak sambut Aidilfitri tanpa ketua keluarga

Dua beranak sambut Aidilfitri tanpa ketua keluarga

NUR Kesuma Kartini Mohamad Zahir (dua kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada Azwirah Amir sempena program Semarak Ukhwah di Kampung Bukit Meriam, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kehadiran Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini mendatangkan kesan mendalam terhadap seorang ibu tunggal apabila pertama kali menyambutnya tanpa suami yang meninggal dunia akibat Covid-19, Mac lalu.

Azwirah Amir, 37, yang reda dengan kematian suaminya, Muhd. Ruhaizar Mohd. Razi, 41, menjelang bulan Ramadan lalu kini hanya ditemani anak tunggal mereka, Airin Adriana Damia Muhd. Ruhaizar, 12.

Ibu tunggal itu kini tidak mengetahui nasibnya yang terpaksa menjadi ketua keluarga bagi menyara anak perempuannya selepas tempat bergantung hidup dan menumpang kasih pergi buat selama-lamanya.

“Sebelum ini semua perbelanjaan kami ditanggung arwah suami yang bekerja sebagai buruh manakala saya seorang suri rumah,” katanya selepas menerima sumbangan Zakat Asnaf Muda Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sempena program Semarak Ukhwah di Kampung Bukit Meriam, Kota Kuala Muda di sini semalam.

Menurut Azwirah, suaminya meninggal dunia ketika tidur dan pemeriksaan mendapati arwah positif Covid-19.

Walaupun Aidilfitri semakin hampir namun dia tidak membuat sebarang persiapan untuk menyambutnya tahun ini.

“Lebih sedih, anak saya menyambut hari raya tanpa ayah tersayang yang sebelum ini sering membeli pakaian raya lebih awal,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pejuanita Muda Kedah, Nur Kesuma Kartini Mohamad Zahir berkata, pihaknya mengharapkan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan dan wang tunai itu dapat menceriakan keluarga tersebut menyambut bulan Ramadan dan Syawal.

Menurutnya, Azwirah adalah salah seorang daripada 220 ibu tunggal dan asnaf di negeri ini yang menerima sumbangan tersebut pada tahun ini.

“Parlimen Sungai Petani adalah lokasi terakhir bagi agihan sumbangan zakat bagi fasa satu dan seramai 30 ibu tunggal serta asnaf disantuni hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya