PUTATAN: Langkah kerajaan menyarankan pengambilan dos penggalak bukan untuk menafikan pergerakan individu sebaliknya demi keselamatan dan kesihatan mereka.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, kerajaan tidak berniat untuk mengehadkan pergerakan individu kerana keutamaan pada masa ini adalah menyarankan rakyat mengambil dos penggalak.
Justeru, bagi mereka yang menerima dua dos vaksin jenis Sinovac dan individu yang berusia 60 tahun ke atas disaran untuk mengambil dos penggalak, tidak kira apa jenis vaksin diambil sebelum ini.
“Status vaksinasi mereka akan berubah menjadi tidak lengkap. Walaupun tiada penalti dikenakan namun, kita menggalakkan mereka mengambil dos penggalak.
“Ia bagi menjaga kesihatan mereka kerana kajian daripada Kementerian Kesihatan mendapati vaksin jenis Sinovac selepas beberapa bulan, tempoh ketahanan badan menjadi kurang.
“Itu sebabnya kita sarankan mereka mendapatkan dos penggalak, bukan untuk menafikan hak mereka bergerak tetapi, untuk keselamatan,” katanya selepas pelancaran Kempen Bersih Putatan hari ini.
Shahelmey yang juga Exco Kesihatan negeri berkata, setakat ini status vaksinasi individu belum diubah menjadi tidak lengkap walaupun sepatutnya ia bermula hari ini.
Mengulas mengenai masalah penempatan mangsa kebakaran di Tawau, beliau berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka di Balung bagi menempatkan individu yang sukar mendapatkan rumah.
“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Presiden MPT setuju untuk membuka PPS secara sementara sehingga mangsa-mangsa kebakaran ini boleh mendapatkan kediaman sendiri.
“Jadi, mangsa yang berhadapan kesukaran ini boleh berhubung dengan MPT bagi tujuan pendaftaran dan penempatan di PPS tersebut,” katanya.
Sebelum ini terdapat laporan akhbar menyatakan mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Jalan Apas terpaksa tinggal di pondok kerana tidak dapat mencari penempatan sementara.
Pada 18 Mac lalu, kebakaran yang berlaku di perkampungan setinggan atas air di Kampung Kurnia Jaya memusnahkan kira-kira 700 buah rumah dan menyebabkan lebih 1,000 penduduk hilang tempat tinggal. – UTUSAN