PUTRAJAYA: Golongan tidak berkemampuan yang menghidap penyakit kronik boleh memohon Tabung Bantuan Perubatan (TBP) yang diwujudkan Kementerian Kesihatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, mereka sebenarnya tidak perlu risau kerana dana khas kerajaan itu memang diwujudkan untuk membantu kumpulan berkenaan.
“Buat masa ini, tiada tabung baharu secara khusus disediakan untuk pesakit kronik namun pertolongan disalurkan menerusi TBP,” katanya di sini semalam.
Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan gesaan pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar agar diwujudkan tabung untuk kes kronik bagi membantu kalangan pesakit miskin.
Langkah itu memudahkan golongan tersebut mendapatkan rawatan di mana-mana pusat perubatan swasta tanpa mereka perlu menunggu giliran terlalu lama di hospital kerajaan.
Tambahan pula, kelompok itu tidak mempunyai cukup simpanan atau skim insurans yang menyebabkan mereka tiada pilihan menanggung sakit dan tidak kembali sembuh sediakala.
Membantu
Noor Azmi berkata, TPB yang ditubuhkan sejak 2005 memang diwujudkan untuk membantu golongan rentan berkenaan terutama pesakit berstatus B40.
“Insya-Allah, tabung ini dapat membantu meringankan beban kewangan dengan membiayai pembayaran kos rawatan tinggi termasuk pelbagai jenis penyakit kronik,” jelasnya.
Bagaimanapun, jelasnya, pegawai sosial perubatan di hospital terbabit akan membuat penilaian kedudukan sosioekonomi pesakit yang memerlukan pertolongan itu bagi mengelak penipuan.
“Ia disemak teliti berdasarkan Garis Panduan Penilaian Sosio Ekonomi Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan Kementerian Kesihatan 2017 dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21/2009. Permohonan tersebut boleh dibatalkan jika maklumat didapati palsu, atau pesakit sudah menerima tajaan selain rawatan tidak lagi diperlukan kerana sudah pun disahkan sembuh.
“Bagi permohonan yang melibatkan kos lebih RM3,000, pesakit berkenaan perlu ada surat pengesahan pendapatan dan beberapa dokumen sokongan lain untuk semakan latar belakang. Setakat ini dianggarkan lebih 60,000 pesakit di seluruh negara sudah menerima manfaat TPB bagi melunaskan sebahagian atau sepenuhnya kos rawatan, pembelian peralatan dan ubat,” katanya.
Pembiayaan bantuan tabung tersebut melibatkan kes penyakit kardiologi, ortopedik, otorinolaringologi, rehabilitasi serta sembilan lagi disiplin yang disenaraikan oleh pihak kementerian.
Pada masa sama, kerajaan menawarkan bantuan lain menerusi skim Peka B40, subsidi hemodialisis di hospital kerajaan dan MySalam untuk menolong meringankan beban pesakit.- UTUSAN










