cencaru sumbat

Cencaru sumbat RM1.50 seekor kena serbu 

MUHAMAD Shafian Amran menunjukkan ikan cencaru sumbat yang dijual RM1.50 seekor di gerainya di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kenaikan kos bahan mentah tidak menghalang seorang peniaga menjual ikan cencaru sumbat bakar RM1.50 seekor di gerainya yang terletak di Kawasan Perindustrian Padang Tembak, di sini.

Tawaran istimewa Muhamad Shafian Amran, 30, di gerainya bermula 1 Ramadan lalu menyebabkan dia dan para pekerjanya tidak menang tangan memanggang ikan tersebut yang laris setiap hari.

Muhamad Shafian berkata, idea menjual ikan bakar pada harga RM1.50 itu timbul selepas dia melihat ramai penduduk yang terkesan dengan serangan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, melalui cara ini, dia dapat berkongsi rezeki dengan orang ramai menerusi harga murah yang ditawarkan selain inisiatif itu diharap menjadi sebahagian daripada ‘pelaburannya’ di akhirat kelak.

“Alhamdulillah rezeki saya tidak putus, setiap hari sebanyak 1,000 ekor ikan cencaru bakar berjaya dijual.

“Paling lewat ikan-ikan ini habis dijual pada pukul 6.30 petang. Selain cencaru, saya turut menjual ikan pari dengan harga RM6 seekor,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

ORANG ramai menyerbu ikan cencaru sumbat RM1.50 seekor di gerai Muhamad Shafian di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH

Muhamad Shafian memberitahu, rempah ikan cencaru bakar sumbat itu menggunakan resepi ibu mentuanya, Rohaya Yaakob yang merupakan seorang tukang masak dan pemilik sebuah kedai ikan bakar di Bachok.

“Ikan bakar ini hanya dijual pada waktu petang bulan Ramadan manakala pada sebelah pagi saya menjual ikan segar diperoleh dari Pantai Remis kepada penduduk yang tinggal di kawasan sekitar,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN