KOTA KINABALU: Hanya tangisan air mata yang mampu meringankan bebanan yang dipikul dalam menguruskan dua anak orang kurang upaya (OKU).
Demikian kata Aslini Mudamin, 42, yang berasal dari Kampung Kuala Mengalong, Sipitang ketika berkongsi kisah mengenai anaknya, Mohamad Daniel Hakim Abdullah yang kini mendapat didikan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sipitang.
Beliau berkata, menangis sudah menjadi sebahagian rutin apabila dia merasa tertekan menguruskan anak-anak. Malah, perkataan yang terbuku di hati pun hampir terkeluar.
“Tapi, setiap kali ingin berputus asa, saya akan tengok balik anak-anak saya, lihat kesusahan yang mereka sendiri tanggung. Saya anggap ini semua anugerah dan ujian buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di PDK Sipitang baru-baru ini.
Ibu kepada empat anak itu berkata, Mohamad Daniel yang mendapat didikan di PDK itu sudah pandai menguruskan diri sendiri manakala kakak sulungnya yang mempunyai masalah OKU dalam pelajaran juga boleh menguruskan diri dan kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sindumin.
Walaupun Mohamad Daniel masih mempunyai masalah percakapan namun dia berasa lega melihat anaknya yang kini berusia sembilan tahun itu mampu menguruskan diri dan boleh memberi isyarat jika mahukan sesuatu.

Memandangkan anak bongsunya itu pandai bertindak agresif, adakalanya beliau terpaksa mengikat anaknya di belakang ketika menaiki motosikal semasa menghantar Mohamad Daniel ke PDK yang terletak kira-kira sejam dari rumahnya.
Bercerita lanjut katanya, Mohamad Daniel pernah beberapa kali hilang dari rumah dan ditemukan semula di ladang kelapa sawit dan sungai semasa berusia empat tahun. Mereka bernasib baik kerana menyedari kehilangan anaknya itu lebih awal.
Menurut beliau, mereka suami isteri hanya berniaga kuih-muih secara kecil-kecilan dan pendapatan yang diperoleh tidak cukup untuk menampung keperluan mereka sekeluarga.
Biarpun kehidupan mereka sukar, Aslini tetap menguatkan semangat untuk menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari kerana suaminya kini menghidap penyakit usus dan sering berada di hospital untuk menjalani rawatan.
Sementara itu, Yusrizam Mohd. Yusof, 42, memberitahu perubahan begitu ketara setelah beliau menghantar anak sulungnya ke PDK Sipitang. Dahulu, anak sulung daripada lima beradik itu tidak pandai berdikari dan menguruskan diri.
Kini setelah berusia lapan tahun, perubahan positif kepada tingkah laku anaknya, Nurul Syazwani mula kelihatan. Malah, dia sudah boleh mengikuti aktiviti yang dilakukan oleh adik-adiknya yang lain.
Kakitangan Jabatan Perhutanan Sabah itu berkata, tanggungjawab menjaga anak OKU yang lembam memerlukan beliau dan isterinya memberi lebih perhatian kepada Syazwani agar anaknya itu tidak rasa tersisih.
Jelas beliau, sejak usia Syazwani empat tahun mereka sudah mula membawa anaknya itu berjumpa doktor pakar kerana mereka menyedari anaknya sukar untuk memahami arahan. – UTUSAN









