KOTA KINABALU: Hampir tiga minggu menunggu bantuan bot dan kenderaan yang dijanjikan tidak kunjung tiba, kira-kira 30 murid daripada dua kampung di Nabawan, dekat sini masih bergadai nyawa menyeberang sungai menggunakan rakit dan zip line.
Baru-baru ini, video murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan menyeberangi sungai menggunakan rakit dan zip line di Nabawan tular dalam media sosial.
Sukarelawan mewakili penduduk kampung, Zazila Roslan berkata, selepas dia memaparkan video mengenai murid sekolah menaiki rakit dan zip line pada awal April, Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Kurup memberitahu penduduk kampung bahawa bantuan bot dan kenderaan akan diberikan.
Itu adalah khabar gembira bagi 157 ketua isi rumah di Kampung Nangkawangan dan Kampung Layon yang terputus laluan perhubungan setelah jambatan menuju ke kampung mereka rosak akibat banjir besar pada 5 Mac lalu.
“Bagaimanapun, sudah hampir tiga minggu selepas pengumuman itu, bot dan kenderaan yang dijanjikan belum diterima penduduk kampung.
“Banjir berlaku semasa musim cuti sekolah dan apabila sekolah dibuka, guru-guru terpaksa meredah laluan berlumpur selama 18 jam menuju ke sekolah di kawasan berhampiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, kali terakhir beliau bersama pertubuhan sukarelawan lain masuk ke kampung itu pada 15 April lalu mendapati keadaan masih sama yang mana jambatan putus dan rosak akibat banjir belum diperbaiki.
Malah, jalan di kedua-dua kampung itu juga sangat teruk seolah-olah tidak pernah diselenggara.
Sementara itu, Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, beliau telah memaklumkan mengenai keadaan beberapa kawasan di Nabawan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelas beliau, Perdana Menteri bersetuju memberikan peruntukan kecemasan bagi mengatasi masalah di kawasan yang terjejas akibat banjir besar yang berlaku pada bulan lalu. – UTUSAN