ALOR SETAR: Sempena dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba kurang seminggu lagi, BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) hari ini mengambil inisiatif menceriakan suasana balik kampung pengguna lebuh raya dengan mengedar lebih 300 cenderahati di Plaza Tol Hutan Kampung di sini.
Untuk tujuan itu, pengurusan kanan Kumpulan Bina Darulaman Bhd (BDB) dan BDB Land turun padang untuk bertemu sendiri dengan anak-anak Kedah yang pulang ke kampung sambil mengedar cenderahati itu.
Kempen tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan BDB, Sr. Che Had Dhali, selain turut disertai oleh Ketua Divisyen Hartanah dan Leisure, Zawawi Wahab dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BDB, Sajahan Abdul Waheed.
Menurut Che Had, BDB Land mengambil peluang bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini untuk memperkenalkan produk-produk terbaharu BDB Land sambil beramah-mesra serta menyantuni anak-anak Kedah yang pulang ke kampung.
“Sebanyak 300 pengguna lebuh raya yang bertuah menerima beg cenderahati yang mengandungi sampul duit raya, pemacu kilat USB yang mengandungi risalah serta video promosi BDB Land, pelitup muka dan pembersih tangan yang cukup istimewa.
“Kempen ini diadakan bertujuan untuk berkongsi semangat dan kemeriahan bersama pengguna lebuh raya yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengedaran cenderahati sempena Aidilfitri di Plaza Tol Hutan Kampung di sini, hari ini.
Che Had berkata, selain Plaza Tol Hutan Kampung, cenderahati berkenaan turut diedarkan di Plaza Tol Alor Setar (Utara), Alor Setar (Selatan), Sungai Petani (Utara) serta Sungai Petani (Selatan).
Tambahnya, sebagai anak syarikat erajaan negeri Kedah, Kumpulan BDB dan BDB Land mengalu-alukan kepulangan anak-anak negeri ini ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri buat kali pertama dalam tempoh dua tahun. – UTUSAN










