PETALING JAYA: Kertas siasatan kes seorang bayi yang meninggal dunia di pusat jagaan yang dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sembilan sebelum ini dikembalikan semula kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya menerima beberapa arahan lanjut yang perlu diambil tindakan berkaitan siasatan kes itu.
Beliau berkata, polis mengambil masa menyiasat kes itu kerana perlu mendapatkan beberapa laporan daripada agensi berkaitan bagi memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh, adil dan saksama.
“Polis tidak pernah sesekali menafikan hak sesiapa dalam menjalankan siasatan kes ini yang disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip undang-undang ‘justice delayed is justice denied‘.
“Polis mengambil maklum tentang kerisauan keluarga mangsa dan orang ramai berkaitan siasatan yang dijalankan ke atas kematian di sebuah pusat jagaan di Negeri Sembilan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan ruang dan masa bagi memastikan siasatan dibuat secara komprehensif dan holistik.
Pada 22 Februari lalu, seorang bayi perempuan berusia 15 bulan meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, Seremban.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, Nour Rania Asyifaa Yuseri disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sendayan oleh pegawai perubatan pada 4.30 petang selepas seorang wanita yang juga pengasuhnya membawa mangsa ke klinik itu untuk rawatan.
Bulan lalu, bapa mangsa mendakwa bayi berkenaan dijerut dan bukannya terjerut.
Menerusi hantaran di Facebook bapa mangsa turut menyatakan ketidakpuasan hati susulan kes berkenaan belum dituduh di mahkamah sehingga hari ini. – UTUSAN