Basikal lajak: Ibu bapa tidak terlepas tindakan

Basikal lajak: Ibu bapa tidak terlepas tindakan

SURINA Saad (tengah) pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Padang Besar yang baharu di IPD Padang Besar, Perlis hari ini. – FOTO/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Ibu bapa atau penjaga tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang jika membiarkan anak-anak terlibat dengan kumpulan basikal lajak.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, di Perlis, pihaknya mengenal pasti beberapa jalan yang menjadi lokasi kumpulan basikal lajak me­lakukan aksi berbahaya dengan salah satunya di sekitar sebuah restoran makanan segera di Jalan Kampung Bakau-Padang Behor di sini.

Tegasnya, pihak polis akan mengambil tindakan terhadap kumpulan basikal lajak terbabit termasuk ke atas ibu bapa dan penjaga mereka.

“Penggunaan basikal lajak sememangnya tidak dibenarkan dan jika dikesan, kita akan mengambil tindakan termasuk terhadap ibu bapa dan penjaga kanak-kanak atau individu yang berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Padang Besar, di sini semalam.

Dalam majlis itu, bekas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner, Mohd. Shokri Abdullah dilantik sebagai Ketua Polis

Daerah Padang Besar yang baharu berkuat kuasa semalam.

Beliau menggantikan Supe­rintenden Saifudin Aslin Abbas yang dilantik sebagai Ketua Ja­batan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis yang baharu.

Tambah Surina, pada tahun lalu, polis telah menahan 50 hingga 60 penunggang basikal lajak dan basikal rekreasi lain yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.

“Penunggang basikal lajak dan basikal rekreasi yang ditahan itu diberikan nasihat dan kesedaran mengenai peraturan sedia ada.

“Ada yang tidak tahu bahawa penggunaannya di atas jalan raya adalah tidak dibenarkan sama sekali manakala basikal rekreasi pula tidak boleh ditunggang di atas lebuh raya.

“Pihak polis melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengambil tindakan dengan mengadakan pengawasan di lokasi selain pen­dedahan menerusi video me­ngenai kesalahan basikal lajak yang dimuat naik di laman sosial Facebook,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Surina memberitahu, aktiviti rempit atau lumba haram di negeri ini didapati terkawal dan sentiasa dipantau pihak polis.

“Aktiviti yang membahayakan pengguna jalan raya tersebut sering dipantau Skuad 42 di bawah JSPT dan terdapat tangkapan dilakukan.

“Beberapa tangkapan yang dilakukan juga menunjukkan ada individu yang ditahan terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya