BEIJING: Beijing mengecam pelan Kesatuan Eropah (EU) yang bertujuan memperkukuh industri bolok itu daripada persaingan China, sambil memberi amaran kemungkinan tindakan balas jika ia dilaksanakan.
EU pada Mac lalu memperkenalkan peraturan baharu ‘Buatan Eropah’ bagi syarikat yang ingin mendapatkan dana awam dalam sektor strategik termasuk kereta, teknologi hijau dan keluli, yang mewajibkan firma memenuhi peratusan minimum komponen buatan EU.
Cadangan itu merupakan sebahagian daripada usaha EU untuk meningkatkan daya saing industri, mengurangkan kemerosotan sektor pembuatan serta mengekang potensi kehilangan ratusan ribu pekerjaan.
Kementerian Perdagangan China berkata, ia mengemukakan komen kepada Suruhanjaya Eropah pada Jumaat, menyuarakan ‘kebimbangan serius’ terhadap dasar tersebut yang disifatkan sebagai diskriminasi sistemik.
“Jika EU meneruskan pelaksanaan undang-undang ini dan seterusnya menjejaskan kepentingan syarikat China, Beijing tidak akan mempunyai pilihan selain mengambil tindakan balas bagi melindungi hak dan kepentingan syarikatnya,” kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan amaran.
Syarikat-syarikat Eropah dalam sektor yang terlibat dengan cadangan itu sekian lama mengadu mereka berdepan persaingan tidak adil daripada pesaing China yang menerima subsidi besar.
Cadangan EU itu, yang dikenali secara rasmi sebagai Akta Pemecut Perindustrian, secara tidak langsung menyasarkan pengeluar bateri dan kenderaan elektrik dari China mewajibkan syarikat asing bekerjasama dengan firma Eropah serta berkongsi pengetahuan teknologi apabila beroperasi dalam blok tersebut.
Dewan Perniagaan China ke EU pada bulan ini berkata, pelan itu menandakan peralihan ke arah dasar perlindungan yang boleh menjejaskan kerjasama perdagangan antara EU dan China.- AFP










