GEORGETOWN: Pengguna di negeri ini terpaksa berdepan kenaikan harga bagi sebahagian besar menu juadah Ramadan tahun ini berikutan peniaga terpaksa menanggung kenaikan barangan mentah yang semakin mahal.
Rata-rata peniaga yang ditemui di sini hari ini menyatakan mereka terpaksa menetapkan harga baharu juadah bermula esok kerana faktor tidak dapat dielakkan.
Seorang peniaga makanan di bazar Ramadan Balik Pulau, Nor Azlina Seliman, 37, berkata, harga barangan keperluan asas seperti daging, ikan, sayur-sayuran dan telur ayam terus melonjak sekali gus mempengaruhi juadah yang dijual .
Menurutnya, harga seperti bihun sup, laksa dan bakso mungkin dinaikkan antara 50 sen sehingga RM1 sebungkus mulai esok.
“Kami yang beroperasi setahun sekali di bazar Ramadan memang amat terasa dengan kenaikan harga barangan keperluan termasuk terpaksa mengeluarkan modal tinggi.
“Selain dikenakan caj sewa tapak dan kanopi RM600, kami juga terkesan dengan harga barang mentah yang naik tidak menentu sehingga 30 peratus.
“Jika kami tidak menaikkan harga makanan yang dijual, memang kami langsung tidak berpeluang menampung modal yang dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, seorang peniaga gulai kawah di Bazar Ramadan Bayan Baru, Shafie Zakaria, 43, memberitahu, pelanggan terpaksa bersedia dan menerima hakikat dengan kenaikan harga juadah Ramadan tahun ini.
Jelasnya, dianggarkan sebanyak 30 peratus peniaga baharu dijangka menaikkan harga makanan di bazar.
“Peniaga terutama yang baru hendak memulakan perniagaan tiada pilihan terpaksa menaikkan harga makanan termasuk mengurangkan kuantiti atau saiz juadah.
“Ini kerana mereka terpaksa mengeluarkan modal yang besar untuk membeli peralatan dan kelengkapan berniaga.
“Bagi saya, orang lama yang berniaga di bazar Ramadan akan kekal dengan harga lama disebabkan sudah dikenali pelanggan selain mahu mengekalkan identiti produk makanan yang dijual,” jelasnya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di pusat bandar Georgetown; Bayan Baru dan Balik Pulau ramai dalam kalangan peniaga membuat persiapan akhir sebelum memulakan operasi perniagaan esok. – UTUSAN