Bapa hanya mampu dengar jeritan anak - Utusan Malaysia

Bapa hanya mampu dengar jeritan anak

MUHAMMAD Fahmi Mohd. Fazlan dan adiknya, Nor Fahmia berusia enam tahun yang maut dalam kebakaran rumah kedai di Seri Iskandar di Parit hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Seorang bapa cuba menyelamatkan dua anaknya selepas terdengar jeritan anak lelakinya memanggilnya ‘abah’ beberapa kali dalam kejadian kebakaran sebuah rumah kedai di Persiaran SIBC 1, Seri Iskandar di sini hari ini.

Bagaimanapun, cubaan lelaki itu untuk masuk ke bilik yang menempatkan anak lelaki dan bayi perempuannya di tingkat satu bangunan rumah kedai itu tidak berjaya kerana asap kebakaran terlalu tebal.

Mohd. Fazlan Nizam Mohamed Hamidi, 37, berkata, dia hanya mampu mendengar jeritan anak sulungnya, Muhammad Fahmi, 6, yang memanggil namanya sebanyak tiga kali ketika api sedang marak.

Katanya, anak perempuannya, Nur Fahmia, 6 bulan, tidak bersuara.

“Pekerja kedai makan yang saya usahakan turut membantu memecahkan tingkap untuk menyelamatkan anak saya. Malah pekerja itu cuba memanjat melalui tingkat untuk mengeluarkan anak saya namun gagal sehingga kami terpaksa menunggu kedatangan anggota bomba,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Changkat Melintang, di sini, hari ini.

Mohd. Fazlan berkata, ketika kejadian dia dan isterinya sedang mengemas kerusi dan meja di kedai makan pada pukul 4.30 pagi sebelum mendengar jeritan pekerjanya dari bahagian belakang bangunan.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak perasan jeritan itu sebelum ternampak asap hitam keluar dari cermin tingkat atas bangunan.

“Saya terus naik mencari anak-anak saya dan terdengar Abe (Muhammad Fahmi) menjerit memanggil nama saya dan saya berlari masuk namun asap terlalu tebal dan saya sukar bernafas. Saya kemudian keluar untuk mengambil udara dan masuk sekali lagi namun masih gagal kerana keadaan terlalu gelap dan sukar bernafas,” katanya.

Mohd. Fazlan berkata, beberapa hari sebelum kejadian, Muhammad Fahmi sering merengek mengatakan dia hendak balik tetapi tidak menyebut ke mana.

“Saya tanya nak balik mana, ini rumah kita, tempat kita, kita berniaga di sini. Tetapi dia kata nak balik berulang kali hingga saya berasa pelik dan memberitahu isteri saya. Walaupun saya rasa tidak sedap hati dengan perubahannya itu kami tetap menjalani kehidupan seperti biasa hinggalah pagi tadi rupanya dia pergi selamanya dengan adiknya,” katanya.

Dalam kejadian hari ini, dua beradik yang diselamatkan bomba dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Persiaran SIBC 1, Seri Iskandar di sini awal pagi tadi meninggal dunia semasa dibawa ke hospital.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 5.10 pagi dan segera ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, kebakaran berlaku di tingkat dua yang mempunyai dua bilik menempatkan pekerja dan dua beradik tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN