‘Bang Chik’ kaki pecah tabung masjid diberkas - Utusan Malaysia

‘Bang Chik’ kaki pecah tabung masjid diberkas

SUSPEK (gambar kecil) menggunakan motosikal milik adik dan abang iparnya melarikan wang sumbangan jemaah di 23 buah masjid sekitar Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki digelar ‘Bang Chik’ diberkas polis selepas dipercayai aktif melarikan wang sumbangan jemaah di 23 buah masjid melibatkan jumlah kerugian RM5,650, sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan dalam Op Tabung oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah D4 (Risikan Jenayah), minggu lalu.

Katanya, suspek ditahan bersama-sama wang tunai sebanyak RM19 di sekitar Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini pada pukul 12.15 pagi.

“Seorang suspek digelar ‘Bang Chik’ diberkas selepas dipercayai terlibat dalam 23 kes pecah tabung masjid dan surau di sekitar Melaka melibatkan 16 kes di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (enam) dan satu kes di Jasin. Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan kegiatan itu seorang diri dengan jumlah kerugian dilaporkan berjumlah keseluruhan RM5,650,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek melakukan kegiatan itu menggunakan motosikal milik keluarganya.

“Suspek aktif melakukan kegiatan pada pukul 12 tengah malam sehingga pukul 5 pagi dengan hasil diperolehi antara RM3 sehingga RM500. Dalam serbuan itu, kita turut merampas dua buah motosikal milik adik dan abang iparnya yang dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan tersebut,” jelasnya.

Tambah Zainol, suspek juga mengaku menggunakan hasil curi untuk perbelanjaan harian dan membeli dadah, malah turut melakukan kegiatan sama di Negeri Sembilan.

Katanya, semakan lanjut mendapati, suspek mempunyai 13 rekod kes jenayah serta enam rekod dadah dan kini direman mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, mencuri dalam bangunan.

Dalam perkembangan sama, Zainol berkata, sepanjang tahun ini, Polis Kontinjen Melaka berjaya menyelesaikan 11 kes pecah tabung masjid dan surau.

“Berdasarkan statistik dari tempoh Januari hingga Mac 2022, sebanyak 41 kes telah dilaporkan dengan 30 kertas siasatan telah dibuka. Angka ini meningkat 24 kes berbanding tempoh sama tahun lalu yang menyaksikan hanya 17 kes dilaporkan dengan 11 kertas siasatan telah dibuka,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN