Azura, anak-anak harap dapat sarung baju raya baharu

Azura, anak-anak harap dapat sarung baju raya baharu

AZURA Ahmad bersama Nor Qaseh Safieya Khairul Nizar ketika ditemui di rumah mereka dekat Desa Kuala Muda, Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Harapan untuk menyarung baju raya baharu buat seorang wanita yang menghidap strok dan tibi serta tiga lagi anak dalam jagaannya dilihat bersinar setelah kisahnya mendapat perhatian masyarakat, baru-baru ini.

Azura Ahmad, 37, dari Desa Kuala Muda, Penaga di sini berkata, dia tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran kerana sudah lama tidak menyarung baju baharu apatah lagi baju raya sempena menyambut Aidilfitri kali ini.

“Tak tahu nak gambarkan macam mana rasa bersyukurnya saya. Semua ini saya anggap rezeki anak-anak. Allah SWT bagi mudahkan perjalanan kami dengan mengutuskan pihak tertentu datang bantu, Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Katanya, rutin hariannya kini berjalan seperti biasa dan kadangkala dibantu dua anaknya, Mohd. Fadhli Fadhil, 14, dan Nor Qaseh Safieya Khairul Nizar, 12.

“Saya harap ada sinar untuk kami sekeluarga menyambut Aidilfitri seperti keluarga lain,” katanya.

Menurut Azura, dia tidak pernah berhenti berharap untuk segera sembuh agar dapat menjalani kehidupan seperti biasa kerana tidak mahu bergantung hidup kepada orang lain.

“Jika diizinkan Allah SWT, saya nak sembuh dan nak sihat macam dulu. Boleh bekerja cari rezeki untuk keluarga seperti ibu-ibu yang lain. Semoga doa ini diperkenan. Apa-apa pun saya reda dan pasrah dengan ketentuan-Nya,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kehidupan Azura bersama tiga anaknya yang berusia 14, 12 dan dua tahun terumbang-ambing setelah ditinggalkan suami yang merupakan seorang penagih dadah.

Hidupnya bertambah sukar apabila tidak mampu bergerak dari paras pinggang ke bawah ekoran terjatuh di bilik air di rumahnya sejak lapan bulan lalu dan hanya bergerak menggunakan kerusi roda untuk menguruskan keluarga. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN