Apa nasib pelajar pintar? - Utusan Malaysia

Apa nasib pelajar pintar?

Nasib pelajar pintar yang memiliki sijil High School Diploma (HSD) tetapi sukar mendapat tajaan untuk melanjutkan pegajian ke luar negara kerana tidak memiliki SPM merugikan potensi mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Malaysia bakal kehilangan bakat pintar yang dibangunkan melalui pelbagai program khas kerajaan berikutan pelajar terlibat menghadapi laluan sukar untuk menyambung pengajian ke universiti tempatan atau luar negara.

Ini kerana universiti tempatan dan penaja biasiswa tidak mengiktiraf sijil High School Diploma (HSD) yang pelajar terlibat miliki bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah.

Ekoran itu pelajar terlibat perlu melalui proses sama seperti lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti pengajian asasi di universiti tempatan atau jika mendapat tempat belajar di universiti luar negara, mereka berhadapan pula masalah tajaan kerana penaja tetap mahukan keputusan SPM yang cemerlang.

Walhal dengan kepintaran yang diakui selepas mengikuti sesi persekolahan di Kolej Genius@Pintar Negara (KGPN) dan Kolej Genius Insan (KGI), pelajar terlibat sepatutnya mendapat laluan ekspres untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

Lebih menyedihkan apabila ada segelintirnya sudah ditawarkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti terkemuka dunia antaranya di Amerika Syarikat (AS), namun terbantut disebabkan HSD yang diambil, tidak diiktiraf penaja biasiswa di negara ini.

KGPN

Situasi tersebut meresahkan kalangan penuntut KGPN di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana menyekat peluang mereka mengembangkan bakat dan potensi untuk meneruskan pengajian.

Buktinya, dari 2012 hingga 2019, daripada keseluruhan 709 graduan kolej itu, hanya 31.1 peratus berjaya meneruskan pengajian di universiti terkemuka seperti di AS, United Kingdom, Jepun, Korea dan Australia manakala 68.9 peratus lagi terpaksa melalui program asasi di institusi tempatan.

Utusan Malaysia difahamkan tahun ini seramai 140 calon SPM 2021 di KGPN dengan kira-kira 20 orang sudah ditawarkan kemasukan ke universiti di luar negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) KGPN, Tengku Ahmad Nawab Tengku Mohamad berkata, indikator SPM yang disyaratkan penaja biasiswa menyebabkan anak-anak genius yang berkelulusan HSD terpinggir daripada menerima manfaat bantuan pendidikan.

Katanya, ketika ini kalangan pelajar mengambil HSD selama dua tahun pada usia 16 dan 17 tahun serentak dengan SPM selepas mereka selesai pengajian Asas 1 hingga 3 (13 hingga 15 tahun).

“Akibatnya, mereka terpaksa menyambung pengajian peringkat persediaan di UKM sebelum terbang ke luar negara, sedangkan dengan kelulusan dimiliki itu mereka sudah boleh memulakan ijazah pertama serta-merta,” katanya di sini semalam.

Sistem pengendalian

Tengku Ahmad Nawab yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Keluarga Pelajar Pintar Terengganu (Gen-T) berkata, sistem pengendalian pelajar genius di luar negara sama seperti di Malaysia dengan lepasan pelajar ditempatkan di universiti berprestij di negara masing-masing.

Bagaimanapun jelasnya, sistem pendidikan negara masih ‘mementingkan’ SPM sebagai syarat utama memasuki universiti, berbanding luar negara yang memberi laluan mudah kepada pelajar genius.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan mengkaji semula syarat penajaan biasiswa bagi memastikan kumpulan pelajar genius dapat menikmati manfaat sama seperti anak cemerlang lain.

Katanya, jika perkara itu direalisasikan, maka para penaja dapat membuat penjimatan kerana tidak perlu memperuntukkan pembiayaan besar bagi program asasi dan ijazah pertama yang menelan kos tinggi untuk setiap pelajar.

Program asasi

Menurutnya, ketika ini kos pembiayaan program asasi di universiti tempatan boleh mencecah sehingga RM30,000 dan jumlah itu tentunya berganda bagi pengajian luar negara.

“Sekiranya pelajar genius berpeluang mendapat penajaan, pemberi biasiswa hanya perlu membiayai pengajian peringkat ijazah pertama kerana mereka terkecuali daripada program persediaan seperti pelajar SPM lain,” katanya.

KGPN yang beroperasi sejak 2011 menghimpunkan pelajar pintar dan berbakat dari seluruh Malaysia dengan kapasiti minda (IQ) melebihi 130.

Program sama diperluaskan ke KGI Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sejak 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN