GEORGETOWN: Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengambil kira semua pandangan berhubung projek pembangunan semula Burmah Square di sini, yang mendapat bantahan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini projek itu belum dimulakan dan belum mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Projek ini tidak akan bermula sehingga tahun 2024 atau 2025, ia satu proses yang dimulakan dengan proses kebenaran merancang.
“PDC atau konsultan sudah mengemukakan permohonan untuk mendapat kebenaran merancang kerana ia menjadi satu keperluan undang-undang untuk maklumkan cadangan pembangunan ini kepada lot-lot jiran.
“Setakat ini proses ini belum habis,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Memorandum Persefahaman (MoU) antara PDC dan Cainiao di PDC, di sini hari ini.
Sebelum ini, Penasihat Penang Citizen Awareness Chant Group (Chant), Yan Lee mendedahkan, kawasan pembangunan semula Burmah Square dijalankan bermula dari Jalan Burmah, Jalan Chow Thye, Jalan Irrawaddy dan Jalan Servis di sini.
Yan Lee berkata, cadangan pembangunan itu dikhuatiri menyebabkan nilai sejarah kawasan tersebut yang menempatkan bangunan warisan kategori dua di situ akan lenyap.
Menurut Kon Yeow, memandangkan projek itu tidak bermula dalam tempoh terdekat, PDC sudah dan akan menimbang kesemua rayuan berkaitan projek berkenaan serta meneliti komponen reka bentuk perancangan pembangunan semula kawasan tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, ulasan berhubung status bangunan di Burmah Square telah diperoleh dan sebahagian daripada bangunan di situ dikategorikan sebagai bangunan warisan kategori dua.
“Di bawah garis panduan, tidak bermakna ia tidak boleh dibangunkan semula, namun ada garis panduan yang perlu dipatuhi seperti kekalkan bahagian luaran bangunan dan boleh bangunkan bahagian belakang.
“Jadi PDC perlu patuhi apa sahaja garis panduan dan sekatan bangunan yang ada,” katanya.
Sementara itu, Kon Yeow turut menafikan dakwaan ketiadaan Rancangan Tempatan menjadi punca mengapa pembangunan menjadi tidak terkawal di negeri itu.
“Walaupun tidak ada ‘local plan’, kita ada pelan struktur dan garis panduan pembangunan yang kawal apa sahaja pembangunan di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN