CAMERON HIGHLANDS: Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) melancarkan inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahun ini dengan menyumbangkan sebanyak 1,000 buah bakul makanan sempena Program Ziarah Komuniti AmanahRaya Berkat Ramadan di 11 buah negeri di Semenanjung.
Pengerusinya, Datuk Ramli Mohd. Noor berkata, sumbangan itu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilaksanakan bermula Ramadan ini di negeri di bawah pengurusan pejabat Amanah Raya Berhad.
“Program ini merupakan CSR AmanahRaya yang sentiasa prihatin dan mengambil endah terhadap mereka yang kurang berkemampuan khususnya bagi meringankan beban ketika membuat persiapan juadah berbuka puasa di bulan Ramadan ini.
“Sumbangan bakul makanan ini dilakukan oleh pegawai daripada Ibu Pejabat Amanah Raya Berhad Kuala Lumpur serta cawangan wilayah di beberapa buah negeri,” katanya selepas melancarkan program CSR Berkat Ramadan serta menyampaikan bakul makanan kepada penduduk yang memerlukan di Tanah Rata, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pemasaran dan Komunikasi AmanahRaya, Siti Azura Shamsuddin dan Pengurus Kanan Wilayah Timur AmanahRaya, Tuan Noraizan Tuan Long.
Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands berkata, program Berkat Ramadan AmanahRaya turut dibantu oleh JKM, pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi kerjasama strategik CSR agensi terebut.
Sementara itu, Siti Azura menjelaskan Ibu Pejabat AmanahRaya menyediakan antara 200 hingga 250 bakul makanan berupa barang keperluan dapur diedarkan ke setiap empat wilayah yang terdiri daripada negeri Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
“Ada sesetengah negeri sudah melaksanakan program CSR ini seminggu sebelum umat Islam menyambut puasa khususnya penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan yang agak jauh dari bandar terpilih untuk program kebajikan AmanahRaya ini.
“Terbaharu, kita telahpun menziarahi empat orang bekas homeguard berusia antara 90 hingga 111 tahun di Lipis, Pahang (Wilayah Timur) untuk menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur sebagai persiapan bulan Ramadan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Tanah Rata, Ilias Abdullah, 54, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada AmanahRaya kerana sumbangan barang keperluan dapur bagi meringankan beban perbelanjaannya menyediakan juadah berbuka puasa.
Ilias yang tinggal bersendirian di pinggir Tanah Rata berkata, dia kerap uzur dan tidak mampu bekerja berat hanya mengambil upah memetik sayur-sayuran di sebuah ladang berdekatan.
“Bantuan barang keperluan dapur Amanah Raya ini membolehkan saya menyediakan juadah berbuka puasa untuk tempoh dua minggu dan sangat berterima kasih kepada pihak yang membantu semoga diberi ganjaran yang besar sempena Ramadan ini,” ujarnya. – UTUSAN










