KUANTAN: Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) menyasarkan untuk memungut 100 tan bahan kitar semula sehingga hujung tahun ini bagi mencapai sasaran program 3R on Wheels yang mengalihkan sisa kitar semula daripada dihantar ke tapak pelupusan sampah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, program kitar semula bergerak itu adalah usaha berterusan Alam Flora bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan alam sekitar yang bersih dan kehidupan lestari.
“Ia selaras hasrat kerajaan yang mahu mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SONG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang 2030.
“Sehubungan itu, sepanjang kempen tersebut yang sudah pun tiga bulan berjalan, Alam Flora berjaya membuat kutipan sehingga 24 tan.
“Ia perkembangan yang baik dan kita menjangkakan dengan pendekatan sebegini kita mampu mencapai sasaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Kempen Katakan Tidak Pada Beg Plastik Sekali Guna dan pengagihan 1,000 bubur lambuk di Bazar Ramadan Mahkota Square, di sini, semalam.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin.
Alam Flora mempergiatkan kempen ‘Katakan Tidak Pada Beg Plastik Sekali Guna’ sempena Ramadan yang mana menjadi kebiasaan orang ramai membeli makanan dan minuman di bazar.
Sebanyak 300 beg guna semula dan 1,000 bekas bubur lambuk diedarkan kepada pengunjung bazar.
Mohd. Zain berkata, plastik antara bahan yang mampu menjana lebih banyak sisa timbunan sampah di tempat pembuangan ataupun ia hanyut ke lautan dan membahayakan hidupan laut.
Katanya, ini kerana plastik mengambil masa 400 sehingga 1,000 tahun untuk diuraikan secara semulajadi.
“Saya akui bukan mudah sebagai pengguna untuk membawa sendiri beg guna semula atau bekas makanan tetapi yakin dengan kempen dan program kesedaran berterusan daripada Alam Flora, ia mampu memberi kesedaran tentang kesan plastik sekali guna terhadap pencemaran alam,” katanya.
Sementara itu, Hamdan memaklumkan pihaknya turut melaksanakan program pertukaran sampah kepada wang menerusi program ‘jangan buang, ini duit’.
“Sebagai permulaan, ia mampu menarik minat masyarakat khususnya warga Kuantan untuk mengitar semula sampah seterusnya dijadikan sumber pendapatan sampingan.
“Inisiatif itu sekali gus mampu mengurangkan beban pusat pelupusan sampah di Pahang yang berdepan dengan isu pembuangan sisa pepejal,” katanya. -UTUSAN