pembiayaan dana politik

Akta Pendanaan Politik ‘terperap’ lapan tahun

Penerimaan emel seperti itu biasanya dianggap salah satu tanda dikaitkan dengan pembubaran Parlimen kerana ia tidak dihantar setiap tahun. – IHSAN PARLIMEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas tiga ka­li bertukar kerajaan, cadangan menggubal Akta Pendanaan Politik masih ‘terperap’ walaupun hasrat itu pernah dibangkitkan pada 2015.

Ia juga sepatutnya dibentangkan bersama dengan Akta Rang Undang-Undang Anti Lom­pat par­ti selepas sambutan Hari Ra­ya Aidilfitri.

Bercakap kepada Utusan Ma­­laysia, Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, kegagalan akta itu untuk direalisasi sehingga kini akibat sikap ahli politik yang pentingkan diri kerana melihat undang-undang itu akan menjerat tengkuk mereka ketika meraih sumbangan dana politik.

Jelasnya, cadangan akta itu me­rupakan hasil usaha tungkus-lumus Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pem­biayaan Politik (JKNMPP) yang dibentuk kerajaan lapan tahun lalu untuk menangani isu-isu pembiayaan parti dan ahli politik.

Akhbar menambah, jawatan­kuasa itu juga mengemukakan 32 cadangan antaranya me­wu­jud­kan Pejabat Pengawal Sum­ba­ngan dan Perbelanjaan Politik se­bagai salah satu pembaha­ruan pembiayaan politik holistik di ne­gara ini di samping mewujudkan Akta Pendanaan Politik.

Jelas beliau, jawatankuasa itu turut mencadangkan kesemua perbelanjaan harus direkodkan dan akaun perlu diaudit dan dilapor kepada Pejabat Pengawal Sumbangan dan Perbelanjaan Politik itu bagi mengawal selia pembiayaan dana politik.

“Malah jawatankuasa itu mencadangkan kawal selia terhadap penerimaan dana politik dan larangan syarikat menerima kontrak kerajaan daripada membuat sumbangan politik secara langsung atau tidak langsung selaku ke arah pelaksanaan kawalan pembiayaan dana politik.

“Cadangan jawatankuasa berkenaan juga menyebut proses memberi kontrak kerajaan perlu dirombak bagi mengelakkan kemungkinan pilih kasih politik manakala larangan derma tunai daripada sumber-sumber asing.

“JKNMPP juga mengemukakan cadangan iaitu dana daripada sumber tidak diketahui harus dirampas manakala peraturan-peraturan ke atas derma perlu meliputi semua derma yang diterima sama ada secara langsung atau tidak langsung dan semua berupa barangan tidak kira apa jua tujuan derma dibuat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, perbincangan mengenai Akta Pendanaan Politik akan ditetapkan pada satu tarikh selepas Hari Raya Aidilfitri.

Jelas beliau, perbincangan itu akan membabitkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) untuk mengkhususkan beberapa perkara dalam akta berkenaan.

Dalam pada itu, Akhbar yang menganggotai JKNMPP berasa kesal apabila semua cadangan yang dikemukakan termasuk langkah menggubal undang-undang pembiayaan dana politik dipandang sepi begitu sahaja sehingga kini.

Katanya, cadangan menggubal Akta Pendanaan Politik bukan satu perkara baharu malah pernah dibangkitkan ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2015 dan kemudiannya mewujudkan JKNMPP bagi mengumpulkan pandangan pelbagai pakar untuk menangani isu pembiayaan parti dan ahli politik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN