Adabi taja RM21,600 serbuk kunyit buat gajah, badak sumbu - Utusan Malaysia

Adabi taja RM21,600 serbuk kunyit buat gajah, badak sumbu

Timbalan Pengarah Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana mengedarkan bubur lambuk kepada pengunjung sempena Program Bubur Lambuk Adabi Bersama Zoo Negara di Zoo Negara pada 28 April 2022. -FOTO/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ampang: Program Bubur Lambuk Adabi bersama Zoo Negara diserikan dengan penyerahan wang tajaan buat haiwan-haiwan yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19 daripada Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd.

Pengurus jenama, promosi dan media korporat Adabi, Roshidi Zabidi berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kali ini membawa kelainan dengan turut memberikan sumbangan kepada haiwan di Zoo Negara.

“Program dua dalam satu ini bermakna kita buat program bubur lambuk dan pada masa sama kita buat program CSR dengan menaja serbuk kunyit untuk haiwan seperti gajah dan badak sumbu.

“Bubur lambuk, rewang, Sahur tak sahur adalah program daripada kami yang diadakan 30 hari sepanjang bulan Ramadan, bukan sahaja di Zoo Negara tetapi pasar raya, asnaf, petugas barisan hadapan negara turut diberikan sumbangan dari kami,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, Adabi telah menaja sebanyak 40 kilogram bernilai RM21,600 serbuk kunyit pada setiap bulan selama tempoh dua tahun iaitu pada tahun 2021 dan 2022.

Serbuk kunyit Adabi itu katanya, bertujuan menjaga kulit untuk dua spesies mamalia terbesar yang dipamerkan di Zoo Negara iaitu spesies gajah Asia dan badak sumbu putih.

Sementara itu, Roshidi berkata, kira-kira 1,500 pek bubur lambuk disediakan oleh tukang masak Adabi menggunakan bahan-bahan rempah yang dikeluarkan syarikat itu yang menjadikan bubur lambuk lebih enak.

“Bubur lambuk ayam dan daging itu akan diagihkan kepada rumah anak yatim, pengunjung Zoo Negara,” ujarnya.

Program ini turut dimeriahkan dengan selebriti jemputan, Maria Tunku Sabri yang turut bersama-sama membantu masak bubur lambuk. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN