52 qari, qariah sertai Tilawah Al-Quran DMDI

52 qari, qariah sertai Tilawah Al-Quran DMDI

CHE SUKRI CHE MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 52 peserta dari lapan buah negara menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Kali Ke-12 pada  12 hingga 13 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, majlis yang dijalankan secara dalam talian itu membabitkan penyertaan 27 qari dan 25 qariah, anjuran bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Menurutnya, lapan buah negara yang akan menyertai selain tuan rumah Malaysia ialah Afrika Selatan, Kemboja, Australia, Thailand, Singapura, Mauritius dan Indonesia.

“Majlis tilawah kali ini diadakan secara dalam talian seperti tahun lalu. Sebanyak 52 peserta mengharungi peringkat saringan.

“Peserta akan menghantar rakaman audio surah yang ditetapkan untuk dibaca yang kemudiannya diadili oleh panel sembilan juri bagi memilih hanya seramai 30 peserta layak ke peringkat akhir.

“Kesemua peserta yang layak ke akhir pada 13 April ini akan memperdengar bacaan masing-masing secara dalam talian disiarkan secara langsung di seluruh negara anggota DMDI. Majlis berlangsung di Auditorium Masjid Al-Azim,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa teknikal penganjuran di Pusat Islam Melaka, Bukit Palah di sini hari ini.

Menurut Che Sukri, majlis penyampaian hadiah kepada pemenang akan disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Menurutnya, juara bagi kategori qari dan qariah membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 beserta sijil penyertaan, naib juara (RM3,000) dan RM2,000 bagi pemenang tempat ketiga.

“Seramai 49 peserta lain yang gagal menduduki tiga kedudukan teratas menerima saguhati sebanyak RM300,” jelasnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN