384 penagih termasuk remaja 16 tahun ditahan dalam Op Tapis Khas - Utusan Malaysia

384 penagih termasuk remaja 16 tahun ditahan dalam Op Tapis Khas

MOHD. Yusri Hassan Basri (tengah) menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas dalam Op Tapis Khas SeMalaysia di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 384 penagih dadah ditangkap termasuk seorang remaja berusia 16 tahun dalam serbuan Op Tapis Khas SeMalaysia yang dilaksanakan seluruh negeri ini selama tiga hari berakhir 20 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 258 serbuan dilakukan serentak di 11 buah daerah dan remaja terbabit ditahan dalam satu serbuan di sebuah Felda di Raub, dekat sini. 

Menurutnya, remaja itu penagih baharu yang terlibat dalam aktiviti penagihan dipercayai angkara mengikut kawan-kawan di kawasan terbabit.

“Daripada jumlah tangkapan itu, seramai 375 lelaki dan sembilan perempuan berusia antara 16 hingga 67 tahun ditahan melibatkan 321 kes di atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

“Dalam operasi itu juga, polis berjaya merampas 145.07 gram syabu, 124.43 gram heroin, 2320.04 gram ganja, 3.84 gram erimin 5, 98.92 gram pil yaba, 28.18 liter air ketum dan 400.7 gram daun ketum dengan keseluruhan nilai rampasan dadah berjumlah RM42,462.

“Wang tunai berjumlah RM59,570, tujuh buah kenderaan keseluruhan bernilai RM138,500 dan barang kemas bernilai RM22,324 turut dirampas dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan adalah sebanyak RM262,856,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Mohd. Yusri berkata, operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang itu tidak hanya tertumpu di kawasan Felda tetapi juga melibatkan tujuh jeti dan perkampungan nelayan di daerah Kuantan, Pekan serta Rompin.

“Operasi kali ini berjaya menggempur 24 lagi lokasi panas penagihan dadah yang dikenalpasti melalui beberapa risikan. Dalam tangkapan itu, antara kejayaan yang diperoleh apabila seramai 56 orang tokan dadah dan 14 ‘Wanted Person’ berjaya diberkas. Tindakan akan diambil di bawah Seksyen 36C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Tambah beliau, JSJN akan terus meningkatkan pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman lebih tinggi kepada penagih tegar dalam usaha mengasingkan mereka dari generasi muda dalam tempoh lebih lama supaya mereka tidak mempengaruhi mereka untuk menagih dadah,” katanya.

Sebarang maklumat kegiatan atau aktiviti dadah boleh disalurkan ke pusat kawalan Kontinjen Pahang (CCC) di talian: 095051999/2202 dan juga hotline JSJN Pahang di talian: 09-5052287 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN