MERSING: Seramai 21 nelayan Vietnam yang menaiki dua buah bot ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Mersing selepas disyaki menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia, kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 10 pagi di perairan Kuala Mersing.
Katanya, kedua-dua bot ditahan oleh aset Maritim Malaysia dalam satu rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Khas Pagar Laut dan Op Khas Kuda Laut di kedudukan kira-kira 62 batu nautika timur laut dari Kuala Mersing.
“Pemeriksaan ke atas 21 kru termasuk tekong kedua-dua bot warga Vietnam berusia antara 16 hingga 62 tahun itu mendapati mereka gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.
“Dua bot berserta peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dianggarkan 6,000 kilogram dan bekalan diesel sebanyak 5,500 liter dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Khairul Nizam berkata, hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM2 juta dan kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia.
“Siasatan juga akan dilakukan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Tambahnya, Maritim Malaysia mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.
“Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan. Sebarang aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404,” katanya. – UTUSAN










