PASIR PUTEH: Polis menganggarkan lebih dua juta kenderaan golongan perantau dan pelancong domestik bakal keluar masuk Kelantan selepas tiada lagi sekatan sepanjang Syawal tahun ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, anggaran itu berdasarkan statistik terkini jumlah kenderaan keluar masuk Kelantan yang mencecah 300,000 hingga 350,000 bermula 1 April hingga awal Ramadan.
“Fokus utama pihak polis adalah mengawal kesesakan lalu lintas di setiap lokasi yang telah dikenal menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Lihat sahaja pada awal bulan ini, kenderaan keluar masuk ke Kelantan adalah sekitar 300,000 hingga 350,000 kerana perantau mengambil peluang untuk berpuasa bersama keluarga,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Puteh antara Superintendan Zaizul Rizal Zakaria yang menggantikan Deputi Superintendan Ediansha Endal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini.
Turut berlangsung, serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Pasir Puteh antara Nor Nadia Wan Ibrahim dengan Masliza Abu Bakar sambil disaksikan Pengerusi Perkep Kelantan, Datin Zairihan Che Harun.
Shafien dalam pada itu berkata, pihak polis sudah membuat penambahan anggota khususnya di bahagian trafik bagi mengawal lalu lintas bermula sepanjang Ramadan ini.
“Seperti mana sebelumnya, polis akan membuat pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di empat lokasi pintu masuk Kelantan iaitu di masing-masng satu di Pasir Puteh dan Jeli serta dua di Gua Musang.
“Pada tahun ini kita juga akan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) di lokasi pemeriksaan bagi membanteras jenayah penyeludupan,” katanya.- UTUSAN










