SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga Indonesia cedera akibat ditetak dalam kejadian di kawasan tepi jalan simpang Taman Rhu 3, Tikam Batu, di sini malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu daripada orang awam pada pukul 8.30 malam.
Beliau berkata, mangsa, Ahfud Nulmawan, 40, wasrga Indonesia yang bekerja sebagai buruh binaan cedera di lengan tangan kiri dan mulut akibat dipercayai ditetak.
Katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani (HSAH) dan sedang dirawat di zon kuning serta berada dalam keadaan stabil.
“Doktor yang merawat mangsa mengesahkan mangsa mengalami ‘laceration wound’ di bahagian lengan tangan kiri dan mulut sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, saksi yang ditemui memaklumkan melihat mangsa dalam keadaan terbaring di tepi jalan dan menghulurkan bantuan.
Sementara itu, tambahnya, berdasarkan temu bual dengan mangsa menyatakan sebelum kejadian mangsa memandu seorang diri dan ditahan oleh dua orang lelaki yang menaiki motosikal jenis Honda EX5.
Menurutnya, mangsa kemudiannya keluar dari kereta dan ditetak oleh suspek.
“Bagaimanapun tiada barang peribadi milik mangsa yang hilang dalam kejadian itu. Siasatan lanjut akan dilakukan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN