KEMAMAN: Kehilangan seorang lelaki warga emas terjawab apabila dia ditemukan mati dalam limpahan air banjir berhampiran Balai Polis Pasir Gajah, di sini hari ini.
Mayat Rahim Deraman, 69, ditemukan orang awam yang kebetulan melalui jalan itu kira-kira pukul 10 pagi.
Mangsa yang merupakan korban ketiga banjir dipercayai kemurungan selepas kematian isterinya beberapa tahun lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kehilangan mangsa disedari anak-anaknya dan usaha pencarian segera digerakkan, namun gagal menemukan petunjuk kerana kawasan balai dan kampung itu turut banjir.
“Bagaimanapun, rumahnya tidak terlibat dengan banjir dan mangsa dipercayai merayau ketika kejadian sebelum terjatuh dalam limpahan air banjir,” katanya hari ini.
Hanyan berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut. – UTUSAN