Apabila menginjak masuk bulan Ogos dan September kita segera akan disentap dengan semangat patriotik dan ramai daripada kita teringat kepada bendera Jalur Gemilang.
Namun itu adalah kejayaan yang sudah dicapai selepas perjuangan menuntut kemerdekaan sekian lama digerakkan.
Bermakna kita hanya menghirup udara kemerdekaan, sedangkan sebelum itu ada pejuang yang sentiasa berkorban dalam pelbagai cara bagi mencapai satu fasa yang diidam-diidamkan semua negara .
Bagi meniup semangat memperjuangkan kemerdekaan, medium penulisan antara yang kita gunakan.
Usaha tersebut digerakkan oleh penulis dan wartawan yang menggunakan medium buku dan majalah sebagai luahan perjuangan bagi mengapi-apikan rakyat bencikan penjajah.
Terdapat banyak buku yang ditulis bagi menyatakan kebencian kepada penjajah dihasilkan penulis.
Sebagai contoh, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako yang merupakan penulis dan wartawan menulis mengenai perjuangan menuntut kemerdekaan menerusi novelnya Putera Gunung Tahan.
Novel tersebut tulis sebagai alat perjuangan mencapai kemerdekaan tetapi disulami dengan sindiran terhadap penjajahan dan mentaliti penjajah.
Beliau juga menghasilkan Budak Beca yang menyorot ketidaksedaran elit Melayu pasca-penjajahan terhadap kebangkitan nasional. Wataknya menjadi simbol peringatan agar orang Melayu menghargai kemerdekaan dan tidak menjadi penjajah dalam negeri sendiri.
Novel-novel patriotik ini bukan sekadar buku yang mengisi rak kita tetapi kandungannya akan membawa kita satu semangat ingin kebebasan daripada belenggu penjajah. Selain itu, karya berkenaanadalah rakaman peristiwa peritnya mereka yang mendahului kita menuntut kemerdekaan.
Selain itu, beliau juga menulis pelbagai karya lain yang semuanya menjurus kepada semangat nasionalis yang wajar dibaca golongan muda khususnya pencinta buku.
Sebenarnya golongan penulis boleh dikatakan antara penggerak memperjuangan kemerdekaan menerusi penulisan mereka. Lihat sahaja peranan golongan yang membentuk Asas 50 atau
Angkatan seniman Abad 50 yang diasaskan penulis tersohor tanah air,
Penulisan menjadi senjata paling tajam dan ampuh tetapi serangannya tidak melibatkan pertumpahan darah dan itulah yang diusahakan oleh Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Usman Awang dan SN Keris Mas semasa mengasaskan Asas 50.
Usman juga menghasilkan karya karya patriotik semasa era mencapai kemerdekaan menerusi novelnya Tulang Tuang Berserakan yang mengisahkan sejarah dan antologi puisinya Ke Makam
Bonda memuatkan banyak puisi patriotik dan menyentuh isu kemerdekaan antaranya Pahlawan Kemerdekaan, Pahlawan dan Tanah Air dan Merdeka.
Pesanan dan luahan mereka berbaur patriotisme yang diluahkan menerus medium penulisan.
Dari sisi lain, novel Keris Mas Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur juga boleh dianggap karya patrotik tetapi dalam naratif dan garapan yang sangat halus maksud di sebaliknya.
Di negara tetangga, Pramodya Ananta Toer juga mencipta sejumlah karya patriotisme menerus novel novel perjuangannya sebagai pembenci penjajahan.
Sejumlah karya-karya ini membangkitkan perjuangan menuntut kebebasan meski pun penulisnya terpaksa berkorban bukan setakat idealiasme tetapi lebih daripada itu. Pramodya dipenjara kerana karya karyanya.
Lebih daripada itu pejuang kemerdekaan Filipina, Jose Rizal yang sangat dihormati karena peranannya yang besar dalam perjuangan kemerdekaan Filipina daripada penjajahan Spanyol. Ia dikenal sebagai intelektual, penulis, doktor, dan reformis sosial. Novelnya Noli Me Tangere (Jangan Sentuh Aku) yang diterbitkan pada, 1887 mengkritik keras pemerintahan penjajah dan masalah korupsi Gereja Katolik di Filipina.
Sebuah lagi novelnya El-Filibusterismo (Pemberontakan) yang diterbitkan pada 1891 merupakan sambungan Noli Me Tangere lebih radikal dan membangkitkan semangat nasionalisme Filipina dan membuka mata rakyat terhadap ketidakadilan kolonial.
Rizal memperjuangkan reformasi damai, bukan pemberontakan bersenjata. Mendiang mahukan reformasi dalam sistem pentadbiran hiduo sama rata dalam kalangan warga Filipina.
Beliau mati di muncung senjata penjajah Sepanyol pada 1896.
Karya karya penulis dan pejuang kemerdekaan penting kerana berjaya menyemai semangat cinta negara dan kesedaran sejarah tanah air dalam kalangan pembaca.
Buku yang mengisahkan perjuangan wanita Acheh Cut Nyak Dien juga meniup semangat perjuangan menuntut kemerdekaan tetapi adakah generasi sekarang membacanya kerana karya karya tersebut hadir dalam bentuk bentuk buku fizikal
Penulis novel tempatan Syed Mohd. Zakir Syed Othman berkata, generasi muda yang leka dengan teknologi digital harus sedar perubahan medium daripada buku kepada teknologi digital supaya sentiasa cakna semangat kemerdekaan bagaimana pun cara disampaikan
“Perubahan fasa berlaku cara meniupkan semangat menuntut kemerdekaan,” ujarnya semasa menjadi panel Forum anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MKBM), baru-baru ini.
Seorang lagi ahli panel forum berkenaan, Mohd. Nazmi Yaakub mengakui bahan bercetak sedang berdepan dengan cabaran membawa wacana patriotisme disebabkan kebanyakan maklumat boleh diperoleh menerusi media sosial.
Wacana tersebut yang diadakan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan meskipun tidak mengupas secara terus pentingnya penghasilan karya patriotik tetapi mengajak generasi muda pentingnyamenghargai kemerdekaan.
Bagi seorang lagi ahli panel, Mohd Hafizul Faiz Hashim yang merupakan aktivis di media sosial, berpendapat rasa cintakan negara perlu diterap melalui pelbagai wadah, namun wadah terbaik adalah cerita, dan cerita boleh diadun melalui filem atau buku. “ Saya percaya negara kita mempunyai ramai penulis berbakat yang boleh menawarkan cerita yang menarik sekali gus menanam sifat cintakan negara melalui watak dan plotnya.
“Kemungkinan ada sedikit gandingan tenaga, penulis, penerbit, pengedar, penjual, kedai-kedai buku termasuklah penggiat filem, hal ini dapat diusahakan.
“Media sosial juga berperanan untuk menyemarakkan cerita berkaitan patriotisme. Penulis harus lebih aktif tampil berkongsi dan bercakap tentang karya dan hasil seni mereka di media sosial, ujarnya.
Seorang penulis novel prolifik Ramlee Awang Murshid mengakui pasaran novel patriotik agak kurang kerana berkemungkinan jumlah pembacanya juga berkurangan.
Maka beliau berharap penulis novel bijak menggunakan kreativiti dengan menyulam cerita romantik dan percintaan apabila menghasilkan karya patriotik dan perjuangan supaya jalan cerita tidak terlalu stereotaip
“Tentu sahaja rasa cintakan negara perlu diterap melalui pelbagai wadah, namun menurut saya, wadah terbaik adalah cerita, dan cerita boleh diadun melalui filem atau buku.
“Saya percaya negara kita mempunyai ramai penulis berbakat yang boleh menawarkan cerita yang menarik sekali gus menanam sifat cintakan negara melalui watak dan plotnya.
“Mungkin jika kita ada sedikit gandingan tenaga, penulis, penerbit, pengedar, penjual, kedai-kedai buku termasuklah penggiat filem, hal ini dapat diusahakan, “ ujarnya. – UTUSAN










