PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang berhasrat mengembara ke mana-mana negara anggota Kesatuan Eropah (EU) wajib menyemak terlebih dahulu penerimaan status vaksinasi mereka.
Hal itu disuarakan oleh jurucakap Kesatuan Eropah ke Malaysia susulan ada rakyat Malaysia diusir dari beberapa negara Eropah hanya disebabkan isu vaksin tidak diperakui.
“Kebanyakan negara anggota memang tegas kawal kemasukan orang asing, bahkan individu tiada vaksin dalam senarai boleh diarahkan berpatah balik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sumber itu merujuk laporan akhbar ini berhubung nasib dua beradik dari Terengganu yang dihalau imigresen Jerman pada Ahad lalu kerana direkodkan menerima dos Coronavac buatan China.
EU menerusi Agensi Perubatan Eropah (EMA) tidak pernah memperakui vaksin keluaran firma Sinovac Biotech itu, kecuali lima jenama tertentu dengan paling baharu ialah Novavax.
Dua rakyat Malaysia itu sudah menerima dos penggalak Comirnaty dihasilkan syarikat Pfizer dan selamat tiba di tanah air kelmarin setelah menempuh perjalanan lebih 15 jam.
Pengalaman pahit ditahan hampir 28 jam di lapangan terbang antarabangsa Dusseldorf jelas memberi kesan malah mereka tidak dibenarkan menghubungi Kedutaan Malaysia di Berlin.
Bagaimanapun ibu bapa mereka dibenarkan masuk untuk menziarahi adik perempuan yang menuntut di sana selepas dua tahun tidak bertemu ekoran sekatan ketat wabak Covid-19.
Mengulas lanjut, sumber tersebut menambah, warga Malaysia yang berminat pergi ke negara anggota EU haruslah membuat semakan dengan pihak kedutaan negara terbabit untuk pengesahan.
“Berita baiknya, ada juga segelintir negara yang masih lagi bertimbang rasa menerima Sinovac kerana panduan EMA itu sekadar garis panduan umum dan bukan perkara wajib,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan negara-negara yang membenarkan kemasukan pengembara asing yang bukan warga EU yang lengkap dua dos vaksin Sinovac.
Jerman sebagaimana kebanyakan negara EU lain cuma menerima vaksin jenama Comirnaty, Spike Vax, Vax Evria, Jansson dan Nuvavoxid atas pelbagai faktor keselamatan.
Secara umum ujarnya, protokol kesihatan setiap negara EU adalah berbeza meskipun ada ketetapan standard EMA, malah boleh pula berubah mengikut pertimbangan tertentu kerajaan.
Justeru jelasnya, sebagai langkah selamat, rakyat Malaysia yang ingin ke negara terbabit sama ada bercuti, bekerja atau belajar, haruslah peka dengan peraturan semasa negara tersebut.
Agensi pelancongan tempatan juga diminta membuat semakan terperinci dengan kedutaan negara berkenaan untuk mengelak insiden pelanggan yang dihalang masuk apabila tiba di sana.
Britain yang bukan lagi menjadi anggota blok Eropah itu, telah memperakui Coronavac termasuk vaksin jenama Sinopharm keluaran China dalam senarai kecemasan dibenarkan. – UTUSAN










