fbpx

Urea biru tingkatkan hasil padi

NOOR Arifin Othman (tengah) dan Shaharudin Bakar (tiga dari kiri) bersama para petani menunjukkan baja urea biru pada program Pengurusan Tanaman Padi Bersepadu (PTPB) Petronas-Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Kampung Nam Dam, Kubur Panjang, Pendang baru-baru ini. – FOTO/SHAHIR NOORDIN

PENDANG: Syarikat pengeluar ammonia dan urea keduaterbesar di Asia Tenggara, PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) berjaya membantu pesawah meningkatkan pengeluaran hasil padi
menerusi baja baharu, Agrenas Dimethylpyrazole Phosphate (DMPP) Treated Urea (DTU) atau dikenali sebagai urea biru.

Agrenas DTU yang mempunyai kadar penyerapan lebih efesien diperkenalkan pada program Pengurusan Tanaman Padi Bersepadu (PTPB) PETRONAS Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) secara rintis di Kampung Nam Dam, Kubur Panjang di sini bermula April 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals Fertiliser Kedah Sdn. Bhd. (PCFKSB), Noor Arifin Othman berkata, program PTPB disertai 68 pesawah yang merupakan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubur Panjang meliputi 75 hektar kawasan penanaman padi memasuki musim kedua tahun ini.

Menurutnya, penuaian padi projek rintis PTPB musim pertama dengan menggunakan kaedah dan prosedur standard yang ditetapkan menghasilkan peningkatan kepada lebih enam tan metrik sehektar berbanding kira-kira tiga tan metrik sehektar sahaja musim terdahulu.

Teknik penanaman padi secara sistematik dan bimbingan pakar dengan memberi khidmat nasihat kepada pesawah terutamanya pengunaan baja Agrenas DTU dan racun serangga berjaya meningkatkan hasil padi, seterusnya menambah pendapatan pesawah yang menyertai program PTPB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau program PTPB di Kampung Nam Dam, Kubur Panjang di sini baru-baru ini.

Noor Arifin memberitahu, ppihak PCG percaya hasil padi keluaran program PTPB akan lebih banyak sekiranya kawasan ini mempunyai sistem pengairan yang lebih baik.

“Projek kami berpaksikan kepada kejayaan hasil tuaian pertama pada tahun lepas dan tuaian kedua tahun ini.

“Berdasarkan kejayaan projek  rintis tersebut, kami mahu memperkenalkan baja Agrenas DTU di kawasan tanaman padi di PPK Kubur Panjang melibatkan kawasan seluas 500 hektar seterusnya ke seluruh negeri ini dan juga di negeri-negeri yang lain,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Teknikal Pembangunan Produk Baja dan Pakar Agronomi PCG, Shaharudin Bakar memberitahu, penggunaan baja itu dapat mengurangkan kehilangan nitrogen daripada larut lesap atau denitri kasi dalam tanah.

Seterusnya mengurangkan kadar pencemaran air. Produk ini juga adalah  bersesuaian dengan strategi kelestarian PETRONAS.

Menurutnya, baja itu meningkatkan penyerapan  nitrogen (N) oleh pokok padi,mengurangkan kadar transformasi ammonium (NH4+) kepada nitrit (NO2-) dan nitrat (NO3-) serta memanjangkan masa ketersediaan nutrien kepada tumbuhan tersebut.

“Hasil kajian projek perintis PTPB musim pertama menunjukkan peningkatan lebih 50 peratus hasil keluaran padi berbanding penggunaan urea biasa.

“Penyerapan yang lebih baik oleh pokok padi akan dapat meningkatkan kesuburan pokok serta mengeluarkan hasil padi yang lebih banyak dan berkualiti tinggi,” ujarnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN