LUMUT: Parti Amanah berpendapat suasana politik di Malaysia akan menuju ke arah demokrasi yang lebih bermakna khususnya untuk rakyat apabila undang-undang anti lompat parti dikuat kuasakan nanti.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli berkata, beliau berkeyakinan tiada mana-mana pihak yang waras boleh menerima tindakan wakil rakyat bertukar parti sehingga menumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya umum (PRU).
“Tempoh dua setengah tahun lepas kita ditadbir oleh mereka yang bukan dari parti yang dipilih dalam PRU, tetapi kerajaan yang dibentuk akibat daripada kes-kes melompat parti dan berpindah kem, jadi kita lihat parti yang ditolak dalam PRU-14 pada 2018, akhirnya kembali menjadi kerajaan.
“Sepatutnya proses ini (PRU) akan berlaku setiap lima tahun, dalam satu tempoh yang ditetapkan, tetapi oleh kerana ada pemimpin yang tidak sabar untuk berkuasa, maka berlaku kes lompat parti,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan perlawanan pembukaan Kejohanan Piala FA Daerah Manjung Piala Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Md Ramli di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, semalam.
Menurut beliau, apabila Pakatan Harapan (PH) mencadangkan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti, semua Ahli Parlimen bersetuju termasuk mereka yang melompat parti itu sendiri yang menunjukkan bahawa perbuatan itu sebenarnya tidak digemari.
Jelasnya, ini bermakna daripada segi jiwa wakil rakyat itu sendiri tidak suka dan tidak bersetuju dengan tindakan lompat parti, justeru sewajarnya mereka berasa malu apabila dapat berkuasa semula setelah ditolak oleh rakyat pada PRU-14.
“Jika mereka waras, mereka perlu tunggu lima tahun lagi bagi melalui proses (PRU) ini semula (jika ingin berkuasa semula).
“Tetapi, perkara sudah berlaku, rang undang-undang baru hendak dirangka, ertinya undang-undang itu tidak ada, jadi kita terpaksa berhadapan dengan perkara seperti ini, kita lihat menjelang rang undang-undang yang dibentang nanti pada sesi Parlimen terkini pun, ada juga yang melompat parti, walaupun bukan wakil rakyat tetapi pemimpin-pemimpin parti,” jelas beliau.
Mengikut rekod, beberapa kerajaan negeri pernah tumbang sebelum ini akibat tindakan wakil rakyat melompat parti seperti kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang hanya berkuasa di Sabah selama beberapa bulan apabila ramai wakil rakyatnya melompat parti kepada Barisan Nasional (BN) pada 1994.
Begitu juga kerajaan Pakatan Rakyat di Perak hanya bertahan selama 11 bulan apabila beberapa wakil rakyatnya bertukar menyokong BN pada 2009 manakala kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN di Melaka tumbang tahun lalu apabila beberapa wakil rakyatnya menarik sokongan kepada Ketua Menteri sehingga terpaksa dilakukan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. – UTUSAN