PONTIAN: Rakyat Johor perlu menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang kini diibaratkan sudah ‘lumpuh’ dengan memilih Perikatan Nasional (PN) bagi memimpin kerajaan negeri Johor selepas 12 Mac ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO dan BN yang tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) perlu direhatkan kerana ditimpa pelbagai penyakit disebabkan terlalu lama memerintah negara.
Beliau berkata, perubahan perlu dilakukan melalui kertas undi dan bukan dengan protes jalanan sebagai memenuhi proses demokrasi untuk memilih sesebuah kerajaan.
Menurut Abdul Hadi, PN adalah pilihan kepada rakyat Johor kerana menawarkan ikrar yang terbaik dengan slogan ‘Demi Bangsa Johor’, manakala Pakatan Harapan (PH) pula selalu mungkir janji.
“Kerana terlalu lama memerintah, berlakulah isu-isu seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN seperti mana diketahui umum hari ini.
“Ibarat mereka yang berusia 60 tahun, UMNO telah lemah dan perlu ditukar. Rakyat perlu memberi kepercayaan kepada PN bermula pada PRN Johor ini,” katanya ketika ditemui selepas ceramah di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, semalam.
Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Johor yang juga calon PN bagi Pulai Sebatang, Abdullah Hussein, Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr. Karim Deraman dan Pengerusi PN Pontian, Datuk Isa Ab. Hamid.
Tambah Abdul Hadi, rakyat Johor juga perlu menghukum BN dan UMNO pada PRN Johor dengan tidak mengundi calon-calon gabungan itu sebagai pengajaran disebabkan kerakusan dan ketamakan mereka.
“Mengundi bukan boleh main-main, bukan kerana mendapat upah RM50 atau RM100 dalam masa dua minggu tetapi mengundi untuk tempoh lima tahun sekali yang dibenarkan dalam demokrasi,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai lafaz ikrar dan sumpah yang dilakukan oleh 56 calon PN, beliau menyifatkan ia sesuatu yang baik dan tidak mustahil pengundi akan memilih PN pada PRN Johor.
Katanya, langkah yang diambil itu merupakan sesuatu yang menjadi keutamaan kepada PN bagi memastikan calon-calon yang dipilih bebas daripada sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa.
Tambah beliau, hanya PN berani mengadakan lafaz ikrar itu berbanding parti-parti lain seperti BN, PH, Parti Warisan Sabah dan Parti Pejuang Tanah Air yang tidak berbuat demikian.
“Pengundi boleh menilai parti mana yang benar-benar serius memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan hanya memilih calon-calon bebas daripada gejala tersebut,” jelasnya. – UTUSAN










