PETALING JAYA: Membenarkan orang ramai mengemas kini status kesihatan masing-masing sama ada positif atau negatif Covid-19 selepas melakukan ujian kendiri tanpa pengesahan doktor mendedahkan aplikasi MySejahtera kepada manipulasi.
Ini kerana akan wujud kemungkinan golongan tertentu terutama pekerja dan pelajar
mengambil kesempatan menipu status kesihatan mereka untuk tujuan ponteng kerja, tidak hadir sekolah atau peperiksaan dan juga untuk melakukan urusan lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan
Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan
kepada turun naik yang ketara dalam angka kes positif Covid-19 setiap hari.
Sehubungan itu, beliau menyarankan majikan supaya mewajibkan ujian saringan Covid-19 itu disahkan di hospital atau klinik kesihatan bagi mengelak masalah manipulasi
itu daripada berlaku dan berleluasa.
Ketika ini, aplikasi MySejahtera membenarkan semua pengguna mengemas kini status kesihatan masing-masing sama ada positif atau negatif Covid-19 selepas melakukan
ujian kendiri.
“Hanya menerusi ujian polymerase chain reaction (PCR), majikan tidak tertipu dengan mudah untuk segelintir pekerja yang mahu mengambil kesempatan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, menurut beliau, setakat ini pihaknya belum menerima kes-kes penipuan tersebut tetapi mengakui perkara seperti itu boleh berlaku.
Berhati-hati
Susulan itu, kata Shamsuddin, pihaknya menasihatkan majikan supaya berhati-hati dengan kemungkinan tersebut selain mengambil langkah segera menanganinya dengan pekerja yang mendakwa dijangkiti Covid19 perlu disahkan oleh klinik atau hospital.
“Menerusi prosedur ini, pekerja tidak akan sewenang-wenangnya akan beritahu mereka dijangkiti Covid-19. Ini satu langkah mencegah,” katanya.
Kelmarin, Malaysia merekodkan jangkitan Covid-19 sebanyak 32,467 kes. Untuk rekod, kali terakhir negara mencatatkan jangkitan harian terendah sebanyak 3,010 pada 16 Januari lalu.
Bagaimanapun, jangkitan melonjak secara drastik sehingga 30,644 pada 25 Februari lalu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, beliau tidak menolak kemungkinan penipuan itu berlaku, justeru kerajaan perlu membuat pemantauan menyeluruh bagi mengelakkan MySejahtera disalahguna untuk kepentingan peribadi.
“Susah mahu kata benar atau tidak akan kes ini. Macam tahun lalu, semua yang diuji positif dibuat di hospital dan klinik, belum ada ujian kendiri lagi dan bila sudah ada peluang untuk muat naik keputusan kendiri, maka ada ruang untuk menipu keputusan ujian mereka.
“Kalau ada individu tidak bertanggungjawab kerana mahu cuti dengan mengisytiharkan diri mereka positif, kerajaan perlu tegas dengan perlu ke hospital untuk disahkan.
“Mungin ada uga yang mahu keputusan negatif, juga boleh menipu dengan cara sama,” katanya.
Menurutnya, kerajaan juga perlu menilai semula prosedur ujian kendiri yang membenarkan semua individu mengemaskini status kesihatan masing-masing tanpa pengawasan.
Katanya, dalam keadaan tertentu dikhuatiri semakin ramai yang menyalahguna aplikasi tersebut untuk tujuan tidak betul dan jika tindakan itu berlaku aplikasi MySejahtera bukan sahaja tidak boleh dipercayai malah sia-sia sahaja.- UTUSAN










