PUTRAJAYA: Pilihan pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini, bukan sekadar menentukan siapa yang akan memerintah Johor tetapi menjadi kayu pengukur hala tuju politik negara dalam pilihan raya umum akan datang.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara utama yang beliau mahu tekankan ialah menentang rasuah dan menolak parti yang dipimpin oleh perasuah, penyamun dan yang tidak amanah.
Kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, ada yang memandang remeh isu rasuah dan menganggap ia tidak sepenting isu untuk meneruskan kehidupan seharian.
“Saya setuju meneruskan kehidupan yang stabil amat penting, tetapi jika dipilih kerajaan perasuah, penyalahguna kuasa dan penyangak, kestabilan negara tidak akan tercapai.
“Empayar-empayar Islam dan bukan Islam yang maha hebat dahulu telah jatuh kerana pemimpin-pemimpinnya perasuah atau tidak menyekat amalan rasuah dalam kalangan pentadbir dan pegawainya,” katanya dalam surat beliau kepada pengundi Johor hari ini.
Dr. Mahathir berkata, rasuah seperti api di dalam sekam yang tidak kelihatan sangat kerosakan pada permulaan, tetapi apabila menjadi nyata, ia sudah terlambat untuk diselamatkan.
Justeru kata beliau, perjuangan melawan perasuah, penyamun-penyamun dan penyangak-penyangak bukan untuk yang muda sahaja, malah selagi ada hayat, perjuangan itu mesti diteruskan.
“Parti Pejuang ditubuh untuk menentang penjenayah daripada kembali berkuasa kerana sudah tentu budaya buruk mereka, seperti tidak tahu malu akan pengaruhi kerajaan mereka.
“Pengundi Johor yang telah tolak perasuah dan penjenayah pada PRU-14 (2018), yang telah bersihkan negara tentu akan sambung perjuangan mereka yang mulia,” katanya.
Dalam usaha itu, kata beliau, jalan yang terbaik ialah dengan mengundi calon Pejuang yang bersih dari rasuah dan latar belakang yang buruk.
Katanya, masa depan Johor dan Malaysia di tangan pengundi yang menolak wang dan sayang kepada bangsa.
“Sehari dua lagi saudara dan saudari akan mengundi untuk menentukan siapa yang akan memerintah Johor.
“Saya yakin saudara dan saudari akan bijak membuat pilihan setelah meneliti pelbagai isu yang diutarakan sejak kempen bermula dua minggu lalu,” katanya. – UTUSAN