KAMPAR: Penduduk Kampung Sungai Peria di sini, menggesa Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) segera mengalihkan sebuah treler terlibat kemalangan pada Khamis lalu yang menghalang laluan keluar masuk ke kampung itu.
Setiausaha Ahli Parlimen Kampar, Azlan Helmi berkata, treler yang terlibat kemalangan itu terbabas di terowong yang menjadi laluan keluar masuk ke kampung itu dan keadaan itu membahayakan keselamatan penduduk.
Katanya, terdapat kira-kira 100 penduduk yang terjejas untuk melakukan aktiviti harian kerana jalan utama untuk keluar dari kampung terhalang oleh treler tersebut.
“Terowong ini adalah laluan utama bagi penduduk kampung untuk keluar masuk ke kampung ini. Memang tiada jalan lain untuk mereka keluar masuk namun treler terlibat kemalangan ini menghalang laluan penduduk dan merbahayakan keselamatan mereka,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.
Menurut Azlan, pada hari pertama kemalangan, pihak PLUS cuba untuk mengubah treler tersebut namun gagal.
Beliau berkata, selepas percubaan untuk mengalihkan gagal, treler tersebut ditinggalkan begitu sahaja.
Katanya, syarikat lebuhraya itu juga tidak meletakkan sebarang tanda amaran di kawasan kejadian.
“Hujan juga membimbangkan penduduk kerana risau treler tersebut akan menggelongsor ke bawah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kampung Sungai Peria, Bah Wel Alang Jawa, 60, berkata, terowong itu juga adalah laluan murid dari kampung itu untuk ke sekolah.
“Apa yang menjadi masalah ialah pelajar sekolah yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini terpaksa melalui jalan ini walaupun berbahaya,” katanya.
Katanya, terdapat kenderaan dari luar yang memasuki kampung itu terperangkap sejak tiga hari lalu kerana tidak dapat keluar akibat dihalang treler tersebut.
“Kenderaan luar seperti lori sayur dan kenderaan kontraktor binaan terperangkap di dalam kampung ini sejak Khamis lalu. Kami berharap pihak yang terlibat menguruskan pengalihan treler ini dengan segera,” katanya. – UTUSAN