KUALA KRAU: Kegagalan ahli-ahli Parlimen menyokong usul Kementerian Dalam Negeri melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan menyukarkan polis membuat siasatan melibatkan jenayah terancang dan kumpulan besar.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kegagalan mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat memberikan kesan begitu besar kepada ancaman keselamatan dan ketenteraman negara.
Menurutnya, akta itu penting bagi memberikan kuasa kepada polis menahan individu yang disyaki melakukan jenayah terancang seperti pengganas bukannya pencuri.
“Akta ini khas bagi membanteras ke akar umbi penjenayah yang boleh mengancam kedaulatan dan ketenteraman awam negara.
“Akta SOSMA digunapakai seperti isu keganasan di Tanduo, Sabah yang membabitkan jenayah terancang dan membabitkan anggota yang ramai,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-41 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 18 di Dewan Bakti Felda Seroja Jengka 18 di sini hari ini.
Baru-baru ini, Dewan Rakyat gagal meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi apabila usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 85 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong.
Ismail menegaskan, SOSMA bukan untuk membanteras jenayah biasa atau masalah politik tetapi membabitkan jenayah terancang dan tanpanya sukar untuk pihak polis melengkapkan siasatan kes jenayah dalam masa 24 jam.
“Kita lihat keganasan di Tanduo dalam tahun 2013 bagaimana pegawai polis terseksa. Itulah yang hendak disekat. Oleh kerana ada pandangan sisi lain, SOSMA mungkin tidak berlaku adil kepada yang ditangkap, maka ada ahli Parlimen menolak,” tambahnya.
Ismail berkata, kesan penolakan SOSMA, polis terpaksa menguatkuasakan Kanun Acara Jenayah semula dengan mematuhi prosedur iaitu tangkap penjenayah dalam masa 24 jam atau 48 jam.
Tambah beliau, selepas itu pesalah perlu dihadapkan ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Sementara itu Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau optimis guru dapat melaksanakan ‘Catch Up Plan’ (CUP) bagi merapatkan semula jurang pembelajaran semasa sesi persekolahan jarak jauh dilakukan dalam tempoh dua tahun lalu.
“CUP memerlukan guru menyediakan pelan untuk mengenal pasti topik atau kemahiran yang diajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR), sampai kepada murid,” katanya.
Menurutnya, fasa pembelajaran bersemuka pada 4 April depan selepas dua tahun pandemik Covid-19 menjadi cabaran kepada guru mengembalikan momentum pendidikan berkualiti. – UTUSAN










