Tokan dadah lolos diri dikejar polis diburu

Tokan dadah lolos diri dikejar polis diburu

RODZI Abu Hassan menunjuk tayar kanan hadapan kereta suspek yang pecah selepas terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis pada sidang akhbar di IPD Kubang Pasu hari ini. - FOTO/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Polis memburu seorang lelaki disyaki tokan dadah yang meloloskan diri selepas dikejar anggota polis dalam kejadian di Kampung Tandop Kedabu, Ayer Hitam, Jitra, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek berusia 44 tahun yang memandu kereta jenis Honda Accord bertindak memecut keretanya selepas menyedari kehadiran anggota unit kereta peronda (MPV) polis.

Suspek lolos walaupun tayar kanan hadapan keretanya pecah akibat terkena dua das tembakan anggota polis ketika kejadian.

Video kereta suspek dikejar polis turut viral di Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak semalam. 

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, dua anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan Ayer Hitam terserempak dengan suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek bertindak melarikan diri dan anggota polis mengejarnya selama kira-kira 10 minit iaitu sejauh empat kilometer (km) sebelum suspek berhenti di tepi jalan Kampung Tandop Kedabu.

“Semasa dua anggota polis itu turun dari kereta untuk membuat pemeriksaan, suspek secara tiba-tiba mengundurkan kereta dengan laju dan hampir melanggar anggota terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kereta MPV polis jenis Proton Waja terjatuh ke dalam tali air selepas dilanggar kereta suspek.

“Suspek cuba melarikan diri dan polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar hadapan kanan menyebabkan tayar kereta suspek pancit, namun dia terus memandu untuk meloloskan diri,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, hasil maklumat dan risikan, polis berjaya menemukan kereta suspek yang disembunyikan di belakang sebuah rumah di Kampung Tempayan, Ayer Hitam pada pukul 7 malam semalam.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menemukan sepeket heroin seberat 0.9 gram, dua peket lut sinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 95 gram dan sebilah pisau,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN