fbpx

Timbalan Menteri akui harga barang akan naik

PARA peniaga bazar Ramadan di beberapa negeri dilapor terpaksa menaikkan harga juadah mereka bagi menampung kos modal harga bahan mentah yang melambung tinggi.

PETALING JAYA: Kira-kira 1,000 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau kenaikan harga barang dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengambil untung melampau.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan sentiasa dilakukan kakitangannya di seluruh negara supaya tidak berlaku harga jualan secara melampau.

Kata beliau, rutin dan tugas kementerian bukan sahaja memerhati penawaran harga jualan antara peniaga dan pengguna, malah pemantauan dilakukan ke atas pembekal serta peruncit.

“Dari segi kenaikan harga barang, kita tidak ada satu cara untuk mengawal perkara itu sebab ia adalah fenomena global yang memberi kesan kepada seluruh dunia. Apa yang kerajaan boleh buat adalah memberi subsidi terhadap barang-barang itu.

“Kita akui kenaikan akan berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti masalah Covid-19, pengangkutan, penukaran mata wang asing, perang Ukraine-Rusia dan banjir. Malah, apabila kerajaan umum gaji minimum RM1,500 pun dikhuatiri turut menjadi faktor kenaikan harga,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia.

KERATAN akhbar laporan Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, para peniaga bazar Ramadan di beberapa negeri terpaksa menaikkan harga juadah mereka bagi menampung kos modal harga bahan mentah yang melambung tinggi.

Bayangan kenaikan harga tersebut diluahkan peniaga dan persatuan peniaga di Kedah, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan yang terpaksa membuat pilihan sama ada bersedia menjual dengan harga makanan lebih mahal atau tidak berniaga semasa bulan tersebut.

ROSOL WAHID

Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkenaan menasihati para peniaga tidak menjual terlalu tinggi hingga menganiaya pengguna atau pembeli semasa bulan Ramadan.

“Kita akan lihat kos modal peniaga dan berapakah nilai harga yang diletakkan pada pembeli. Sebagai contoh modalnya RM1 untuk satu juadah tetapi dijual dengan harga RM5, itu melampau.

“Kementerian akan mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” jelasnya. – UTUSAN 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!