LUMUT: Tiga pusat hiburan yang beroperasi secara haram dikenakan tindakan dalam Operasi Bersepadu Pematuhan SOP Covid dan Pusat Hiburan di sekitar daerah Manjung malam semalam.
Dalam operasi bermula pukul 10 malam itu, tiga premis tersebut diarah tutup kerana beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, tiga premis itu serta tiga penjaga premis berusia antara 20 hingga 53 tahun diambil tindakan di bawah Enakmen Hiburan 1997 kerana menjalankan aktiviti hiburan karaoke tanpa lesen yang sah.
Selain itu, ujarnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengeluarkan tiga kompaun RM1,000 setiap satu ke atas tiga individu kerana tidak mematuhi SOP PPN Fasa 4 iaitu gagal mengimbas aplikasi Mysejahtera semasa memasuki dan berada dalam premis.
“Rampasan juga dibuat ke atas komponen karaoke seperti monitor, amplifier, alat pembesar suara, mikrofon, keyboard, televisyen dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi yang melibatkan tujuh pegawai kanan polis dan 33 anggota agensi – agensi penguatkuasa seperti KKM, Kastam DiRaja Malaysia dan MPM itu membuat pemeriksaan ke atas 14 premis di sekitar daerah Manjung.
Jelas beliau lagi, operasi tersebut telah berjalan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan. – UTUSAN